KUALA LUMPUR: Barisan kepimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) mula berkumpul di Ibu Pejabat Pas di sini malam ini bagi menghadiri mesyuarat tergempar yang dijangka menentukan beberapa keputusan penting melibatkan gabungan itu.
Antara kehadiran yang mencuri tumpuan ialah Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tiba kira-kira pukul 8.26 malam bersama Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Ketibaan kedua-dua pemimpin itu menarik perhatian petugas media yang berkumpul sejak awal bagi mengikuti perkembangan mesyuarat berkenaan.
Mesyuarat tergempar itu diadakan susulan notis panggilan yang dikeluarkan dalam tempoh singkat kepada semua anggota Majlis Tertinggi (MT) PN.
Difahamkan kesemua 21 anggota MT PN dilaporkan hadir termasuk barisan timbalan pengerusi dan beberapa pemimpin kanan daripada parti-parti komponen gabungan berkenaan.
Mesyuarat tersebut akan dipengerusikan oleh Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang mengambil alih jawatan itu awal tahun ini.
Turut kelihatan ialah Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa serta Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bersama beberapa pemimpin kanan parti.
Mesyuarat malam ini dijangka membincangkan beberapa isu penting termasuk hala tuju gabungan dan perkembangan politik semasa, selain kemungkinan membuat ketetapan berkaitan pengukuhan PNl menjelang cabaran politik akan datang.