Skip to main content

Dunia

Piala Dunia 2026: Yamal cetus inspirasi

Spain's Lamine Yamal, left, and Saudi Arabia's Salem Aldawsari battle for the ball during the World Cup Group H soccer match between Spain and Saudi Arabia in Atlanta, Sunday, June 21, 2026. (AP Photo/Erik S.Lesser)
Aksi cemerlang Lamine Yamal menjadi pemangkin kebangkitan Sepanyol apabila mereka melakar kemenangan bergaya 4-0 ke atas Arab Saudi dalam saingan Kumpulan H Piala Dunia 2026, awal pagi Isnin. - Gambar AP

ATLANTA, AMERIKA SYARIKAT: Aksi cemerlang Lamine Yamal menjadi pemangkin kebangkitan Sepanyol apabila mereka melakar kemenangan bergaya 4-0 ke atas Arab Saudi dalam saingan Kumpulan H Piala Dunia 2026, awal pagi Isnin.

Kemenangan itu turut menyaksikan penyerang Mikel Oyarzabal kembali menemui sentuhan jaringan dengan dua gol, sekali gus mengembalikan keyakinan selepas aksi hambar pada perlawanan pembukaan.

Sepanyol yang sebelum ini sekadar seri tanpa jaringan dengan Cape Verde tampil lebih agresif dengan pendekatan permainan lebih ‘menegak’ seperti diakui ketua jurulatih, Luis de la Fuente.

La Roja tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Yamal meledak gol pertama pada minit ke-10 hasil hantaran lintang menarik daripada Oyarzabal.

Gol tersebut jelas meredakan tekanan pasukan Sepanyol yang sebelum ini bergelut dalam aksi pembukaan, sekali gus membuka ruang untuk mereka terus menguasai permainan.

Oyarzabal kemudian mencuri tumpuan apabila menjaringkan dua gol dalam tempoh tiga minit pada penghujung babak pertama, memastikan Sepanyol selesa mendahului 3-0 sebelum rehat.

Gol kedua Sepanyol hadir menerusi situasi sepakan penjuru apabila Aymeric Laporte menanduk bola ke arah Oyarzabal yang pantas menyempurnakan peluang.

Tidak lama kemudian, gerakan pantas dan tersusun menyaksikan Oyarzabal sekali lagi menambah jaringan hasil hantaran Pedro Porro dengan bantuan Marc Cucurella dan Dani Olmo, membuktikan keupayaannya sebagai penyudah utama pasukan.

Memasuki babak kedua, Sepanyol tetap meneruskan dominasi biarpun membuat beberapa pertukaran pemain. 

Gol keempat hadir hasil jaringan sendiri pertahanan Arab Saudi, Hassan Altambakti, selepas situasi kelam-kabut di depan gawang.

Selepas itu, Sepanyol dilihat memperlahankan tempo permainan sambil mengawal kelebihan besar yang dimiliki, selain merehatkan beberapa tonggak utama.
Oyarzabal mengakui gembira dengan kebangkitan pasukan selepas aksi pembukaan yang mengecewakan.

“Perlawanan sebelum ini tidak banyak memberi peluang kepada saya dan prestasi kami juga kurang menjadi. Namun kali ini, kami berjaya bangkit dan memperbaiki keadaan,” katanya.

Sementara itu, De la Fuente memuji kesungguhan anak buahnya yang mempamerkan intensiti tinggi sejak minit awal hingga mengekang pergerakan lawan.

Kemenangan tersebut menyaksikan Sepanyol mengumpul empat mata daripada dua perlawanan, manakala Arab Saudi kekal dengan satu mata.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan H, Cape Verde dijadual berdepan Uruguay di Miami lewat hari yang sama. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement