Skip to main content

Malaysia

Bilik pentadbiran SK Parit Serong terbakar - Bomba

Bilik pentadbiran SK Parit Serong, Tanjong Karang, terbakar. Ihsan Bomba
Dua buah bilik di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Serong di Tanjung Karang mengalami kerosakan akibat kebakaran awal pagi tadi, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.

KUALA LUMPUR: Dua buah bilik di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Serong di Tanjung Karang mengalami kerosakan akibat kebakaran awal pagi tadi, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.50 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Karang tiba di lokasi pada jam 1.01 pagi.

"Kebakaran melibatkan bangunan sekolah jenis Kelas A yang diperbuat daripada binaan batu bata.

“Siasatan awal mendapati kebakaran melibatkan dua bilik iaitu bilik pentadbiran dan bilik unit sumber dengan keluasan keseluruhan sekitar 60 x 25 kaki persegi.

“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan sumber air daripada pili bomba dengan tiga aliran sepanjang 200 kaki serta tiga pancutan nozzle,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.13 pagi sebelum kerja-kerja pemadaman dan pemeriksaan lanjut (overhaul) diteruskan bagi memastikan tiada lagi punca kebakaran yang boleh mencetuskan api.

"Pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut dimaklumkan untuk melakukan pemotongan bekalan elektrik sebagai langkah keselamatan.

"Operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada jam 3.56 pagi," ujarnya.

Beliau berkata, seramai 13 anggota bomba daripada BBP Tanjung Karang dengan bantuan BBP Kuala Selangor dan BBP Sungai Besar terlibat dalam operasi tersebut.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Must Watch Video

Advertisement