Skip to main content

Dunia

Piala Dunia 2026: Ronaldo enggan layan soalan mengenai Messi

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - Group K - Portugal v Uzbekistan - Houston Stadium, Houston, Texas, U.S. - June 23, 2026 Portugal's Cristiano Ronaldo celebrates scoring their first goal REUTERS/Phil Noble TPX IMAGES OF THE DAY
Cristiano Ronaldo meraikan jaringan pembukaan dengan gaya ikonik ‘Siuu’ ketika menentang Uzbekistan. - Gambar Reuters

HOUSTON, AMERIKA SYARIKAT: Aksi Cristiano Ronaldo di luar padang mencuri perhatian apabila bintang Portugal itu dilihat enggan menjawab soalan berkaitan Lionel Messi dalam satu detik janggal selepas Portugal membelasah Uzbekistan 5-0 dalam aksi Kumpulan K Piala Dunia 2026, awal pagi tadi.

Insiden itu berlaku sejurus Ronaldo muncul wira apabila meledak dua gol dalam perlawanan tersebut.

Namun, ketika ditemui media di zon campuran, penyerang berusia 41 tahun itu tidak mengendahkan soalan seorang wartawan yang cuba mengaitkan prestasinya dengan pencapaian Messi dalam kejohanan sama.

Ronaldo dilihat terus berlalu tanpa memberi sebarang reaksi sebelum beralih kepada wartawan lain, sekali gus mencetuskan suasana janggal dalam sesi tersebut.

Video rakaman situasi itu kemudiannya tular di media sosial, dengan pelbagai reaksi dan spekulasi dalam kalangan peminat terhadap tindakan pemain berkenaan.

Insiden tersebut sekali lagi menghidupkan perdebatan klasik antara Ronaldo dan Messi, dua legenda yang mendominasi dunia bola sepak selama hampir dua dekad.

Untuk rekod, kedua-dua pemain terus mempamerkan prestasi memberangsangkan dalam saingan Piala Dunia kali ini, sekali gus menghangatkan lagi perbandingan antara mereka.

Dalam pada itu, Ronaldo sebelum ini menegaskan keutamaannya adalah membantu Portugal mara lebih jauh dalam kejohanan, berbanding melayan spekulasi atau perbandingan individu.

Kemenangan ke atas Uzbekistan itu menyaksikan Portugal memperkukuh kedudukan dalam kumpulan dan menghidupkan peluang untuk mara ke peringkat seterusnya.

Pada masa sama, Ronaldo turut mencipta rekod tersendiri apabila terus menjaringkan gol dalam edisi Piala Dunia berbeza, sekali gus mengekalkan statusnya sebagai antara penyerang paling berpengaruh dalam sejarah bola sepak dunia.

Ditanya mengenai laungannya “Saya kembali”, Ronaldo menjawab ringkas: “Ya, supaya orang tidak lupa.”

Mengulas aksinya, beliau berkata: “Mereka kata saya patut bersara... tetapi saya masih di sini.

“Bunyi bising dari luar sentiasa seperti itu, tetapi kami tidak boleh mengawalnya. Kami teruskan perjuangan dan kami bersatu.”

Ronaldo kini memegang rekod sebagai pemain paling berusia yang beraksi dalam kesebelasan utama pada pentas Piala Dunia.

Namun, beliau masih bukan penjaring tertua dalam sejarah kejohanan itu, dengan rekod tersebut kekal milik legenda Cameroon, Roger Milla yang menjaringkan gol pada usia 42 tahun dalam Piala Dunia 1994.

Portugal akan menentang Colombia dalam aksi terakhir Kumpulan K pagi Ahad ini, dan kemenangan akan memastikan mereka menamatkan saingan sebagai juara kumpulan. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement