ARLINGTON: Mesir melakar sejarah baharu di pentas Piala Dunia 2026 apabila menewaskan Australia 4-2 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan dalam aksi pusingan 32 terbaik, awal pagi Sabtu (Jumaat malam, waktu tempatan).
Kejayaan itu bukan sahaja mengesahkan kemaraan The Pharaohs ke pusingan 16 terbaik, malah menjadi kemenangan pertama Mesir dalam perlawanan kalah mati sepanjang penyertaan mereka di Piala Dunia.
Mesir bermula garang apabila membuka tirai jaringan seawal minit ke-13 menerusi tandukan Emam Ashour yang memanfaatkan hantaran lintang Karim Hafez.
Gol itu turut mencatat sejarah tersendiri sebagai jaringan ke-250 sepanjang kempen Piala Dunia 2026.
Australia yang diasak sepanjang babak pertama bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-55, namun jaringan tersebut hadir menerusi gol sendiri pertahanan Mesir, Mohamed Hany, yang tertanduk bola ke gawang sendiri ketika cuba menyekat sepakan percuma berbahaya Aiden O'Neill.
Ia merupakan gol sendiri kedua dilakukan Hany dalam kejohanan kali ini.
Kedua-dua pasukan terus berbalas serangan, namun gagal menemui sentuhan penyudah untuk memecahkan kebuntuan sehingga tamat 120 minit permainan.
Dalam penentuan penalti, Mesir mempamerkan ketenangan luar biasa apabila menyempurnakan kesemua sepakan mereka, sementara Australia keciciran selepas dua percubaan gagal disudahkan.
Hossam Abdelmaguid kemudian muncul wira pasukan apabila menyempurnakan sepakan kemenangan yang memastikan Mesir mara dengan keputusan 4-2.
Kemenangan bersejarah itu membawa Mesir ke pusingan 16 terbaik, dengan mereka bakal berdepan pemenang antara Argentina dan Cape Verde di Atlanta pada Rabu depan dalam usaha meneruskan kemaraan sensasi di bumi Amerika Utara. - Agensi