EAST RUTHERFORD: Norway meletakkan harapan tinggi kepada ketajaman Erling Haaland untuk meneruskan kemaraan sensasi mereka apabila berdepan gergasi Amerika Selatan, Brazil, dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia pada Isnin ini.
Penyerang Manchester City itu sekali lagi membuktikan statusnya sebagai mesin gol apabila muncul penyelamat Norway menerusi jaringan lewat permainan ketika menewaskan Ivory Coast, sekali gus menghadiahkan kemenangan pertama negara Scandinavian itu dalam aksi kalah mati Piala Dunia.
Gol tersebut merupakan jaringan kelima Haaland dalam kempen kali ini, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara penyerang paling berbisa di pentas antarabangsa.
Selepas menunggu hampir tiga dekad untuk kembali beraksi di Piala Dunia, Norway kini hanya selangkah lagi daripada mencipta sejarah baharu dengan mara ke suku akhir.
Lebih menarik, skuad kendalian Stale Solbakken memiliki kenangan manis terhadap Brazil apabila pernah mengejutkan juara dunia lima kali itu 2-1 pada peringkat kumpulan Piala Dunia 1998.
Walaupun mengakui peluang untuk menundukkan Selecao bukan mudah, Haaland enggan melihat pasukannya turun sebagai pelengkap jadual.
Rekod lampau turut memberikan suntikan keyakinan apabila Norway masih belum pernah tewas kepada Brazil dalam empat pertemuan sebelum ini, dengan dua kemenangan dan dua keputusan seri direkodkan.
Solbakken yang turut menjadi sebahagian daripada skuad Norway ketika menewaskan Brazil 28 tahun lalu, mengakui pasukannya berdepan cabaran besar namun percaya anak buahnya mampu mencetuskan kejutan.
"Sudah tentu Brazil adalah pasukan pilihan. Mereka memiliki sejarah, kualiti dan pengalaman yang hebat.
"Tetapi kami datang bukan sekadar untuk bersaing. Kami mahu menang dan mara ke suku akhir. Ia tugas yang sukar, namun tidak mustahil," katanya.
Jurulatih berusia 58 tahun itu turut menyifatkan Haaland sebagai penyerang terbaik dunia ketika ini berdasarkan konsistensi yang dipamerkan bersama kelab dan negara.
Pemain berusia 25 tahun itu kini berada dalam prestasi luar biasa apabila menjaringkan gol dalam 13 perlawanan antarabangsa kompetitif berturut-turut dengan keseluruhan 25 jaringan sepanjang tempoh berkenaan.
Sementara itu, kapten Norway, Martin Odegaard menyifatkan kehadiran Haaland sebagai kelebihan terbesar pasukannya.
"Memiliki pemain seperti Haaland adalah satu keistimewaan. Apa yang perlu kami lakukan adalah terus mencipta peluang dan memberinya ruang untuk melakukan apa yang dia lakukan dengan terbaik iaitu menjaringkan gol," katanya.
Namun, Brazil turut memiliki senjata ampuh mereka sendiri menerusi Vinicius Junior yang sedang melalui kempen cemerlang apabila sudah meledak empat gol setakat ini.
Bintang Real Madrid itu dijangka menjadi ancaman utama buat benteng Norway dalam pertembungan yang dilihat menemukan dua pasukan yang kaya dengan kuasa serangan dan bercita-cita besar untuk melangkah lebih jauh di Piala Dunia 2026. - Agensi