PERJALANANNYA mungkin disabotaj tapi Iran menonjolkan persembahan memukau apabila berjaya mengikat New Zealand 2-2 menjadikan antara perlawanan Piala Dunia 2026 terbaik setakat ini.
Dengan kedua-dua pasukan menampilkan permainan seimbang, atmosfera Stadium Los Angeles (LA), Amerika Syarikat (AS) tidak berhenti daripada bersorak apabila penyokong kagum melihat Iran dan New Zealand beraksi.
Kawalan bola yang tenang daripada penjaring gol terbanyak sepanjang zaman Nottingham Forest, Chris Wood, memberikan kelebihan sebelum Elijah Just membuka tirai jaringan.
Tersentak, Iran yang menduduki ranking ke-23 dunia itu terus mengatur serangan balas dan hasil pada minit ke-32 menyaksikan Ramin Rezaeian menyamakan kedudukan 1-1.
Memasuki babak kedua, skuad kendalian Amir Ghalenoei terus melakukan asakan bertali arus bagi mengancam pihak lawan, namun sebaliknya yang terjadi.
Just sekali lagi menjadi pencetak nama selaku penjaring dengan umpanan mudah menewaskan Alireza Beiranvand membolehkan New Zealand kembali berada di hadapan.
Sembilan minit kemudian, tandukan Mohammad Mohebi menjadi penyelamat buat Iran apabila berhasil memadam hasrat All Whites dan kedua-dua terpaksa berpuas hati dengan satu mata.
Umum mengetahui Iran banyak dikenakan sekatan geopolitik oleh tuan rumah ekoran konflik global sebelum ini sehingga dinafikan hak untuk berada di AS bagi menjalani latihan, masalah pelepasan visa dan lain-lain tetapi ia tidak mematahkan semangat Iran menghadapi kejohanan berprestij itu.
Mengenai ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), sememangnya Iran dijangka menang, namun permasalahan yang melanda meletakkan mereka di titik terendah untuk bersaing.
Akan tetapi mereka menolak segala persepsi dan tetap memberikan semangat paling tinggi.
New Zealand lebih dominan dan ini merupakan satu pencapaian terbaik juga buat mereka selaku antara pasukan dengan ranking paling rendah dalam kejohanan itu.