MARANG: Majlis Daerah Marang (MDM) menjelaskan sebuah premis di Kompleks Telaga Mengkudu, Bukit Payong, dekat sini yang tular kerana didakwa digunakan sebagai pusat pembelajaran kanak-kanak Rohingya telah disewakan kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sejak 2020.
MDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan premis tersebut telah disewakan kepada Persatuan Jaringan Islam Global Masa Depan dengan mengikut prosedur, syarat dan peraturan yang ketat bagi tujuan pendidikan dan aktiviti kebajikan berasaskan kemanusiaan.
Menurut pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, sepanjang tempoh operasi, MDM tidak pernah menerima sebarang aduan rasmi berkaitan pelanggaran syarat penyewaan yang boleh menjejaskan keselamatan awam, ketenteraman atau keharmonian masyarakat setempat.
"NGO yang menyewa menerima sokongan dana daripada UNHCR untuk melaksanakan program pendidikan asas kepada kanak-kanak pelarian yang tidak mempunyai akses kepada sistem pendidikan formal. Aktiviti yang dijalankan memberi fokus kepada pembelajaran asas, pembangunan sahsiah dan kesejahteraan kanak-kanak selaras dengan prinsip kemanusiaan sejagat.
"Penyewaan merupakan urusan pengurusan aset majlis yang dilaksanakan berdasarkan fungsi dan bidang kuasa PBT serta tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa," menurut kenyataan itu.
MDM memaklumkan penyewaan premis tidak melibatkan sebarang pengiktirafan status kewarganegaraan, hak bermastautin atau pemberian keistimewaan khas kepada mana-mana individu.
Menurut kenyataan itu, penguat kuasa MDM juga sentiasa memantau premis berkenaan agar aktiviti yang dijalankan mematuhi syarat dalam memastikan keharmonian penduduk setempat serta aset majlis diuruskan dengan berhemat, telus dan bertanggungjawab.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat daripada sumber sahih bagi mengelak penyebaran maklumat tidak tepat atau bersifat spekulatif yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
"MDM menghargai keprihatinan semua pihak dan akan terus melaksanakan tanggungjawab secara profesional demi menjaga kesejahteraan komuniti daerah Marang," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA