SEBUAH kedai ganja di Queen Street, Toronto, menerima notis undang-undang daripada FIFA selepas didakwa menjual bong yang menyerupai trofi Piala Dunia.
Produk berharga C$50 (RM144) itu dilaporkan telah dijual kepada seorang pembeli tanpa nama sebelum pemilik premis menerima surat daripada firma guaman mewakili badan bola sepak antarabangsa berkenaan, atas dakwaan pelanggaran hak cipta.
Menurut notis yang dihantar oleh Lipkus Law, firma itu memaklumkan bahawa pihak kedai telah mengiklankan dan menjual produk yang dipercayai mempunyai elemen tanda dagangan milik FIFA.
“Telah sampai kepada perhatian kami bahawa anda mengiklankan, menawarkan untuk dijual dan/atau menjual produk yang mempunyai tanda dagangan FIFA,” menurut kandungan notis tersebut.
Pemilik kedai, Sean Kady, 38, berkata beliau dan adiknya Charles Kady, 34, terkejut menerima surat berkenaan kerana niat asal mereka sekadar ingin meraikan penganjuran Piala Dunia 2026.
Katanya, kejohanan itu yang bakal dianjurkan bersama oleh Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat (AS) dilihat sebagai peluang untuk mempromosikan industri pelancongan ganja di negara tersebut.
Kanada sebelum ini menjadi negara pertama di Amerika Utara yang menghalalkan penggunaan ganja rekreasi serta penjualannya melalui kedai runcit, berbeza dengan AS yang masih mengharamkannya di peringkat persekutuan walaupun sebahagian negeri telah membenarkan penggunaannya.
Di Mexico pula, penggunaan peribadi ganja dibenarkan namun penjualan runcit masih belum disahkan sepenuhnya di kebanyakan kawasan.
Mengulas lanjut, Sean berkata bong yang diperbuat daripada silikon itu dihasilkan sebagai idea kreatif untuk menarik minat peminat bola sepak yang berkunjung ke Toronto sempena kejohanan berkenaan.
“Jadi kami fikir ada peluang untuk menggambarkan Kanada sebagai peneraju dalam pelancongan ganja. Kami juga berpendapat ia boleh menjadi salah satu tarikan kepada peminat bola sepak,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak menjangka produk itu akan menarik perhatian FIFA sehingga membawa kepada tindakan undang-undang, malah menyifatkan situasi tersebut sebagai pengalaman luar jangka yang memberi publisiti kepada kedainya.
“Saya tidak pernah menjangka ia akan menjadi tular dan saya anggap ia ibarat menerima kad merah daripada FIFA,” katanya. - Stadium Astro