Skip to main content

Dunia

Kerajaan Ireland digesa sokong usul bantah perlawanan bola sepak dengan Israel

Sumber: REUTERS
Parti pembangkang Ireland menggesa kerajaan menyokong usul yang menyeru negara itu menolak untuk beraksi dalam perlawanan bola sepak menentang Israel, menurut laporan media pada Selasa. - Gambar hiasan Reuters

LONDON: Parti pembangkang Ireland menggesa kerajaan menyokong usul yang menyeru negara itu menolak untuk beraksi dalam perlawanan bola sepak menentang Israel, menurut laporan media pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Jurucakap sukan Sinn Fein, Joanna Byrne berkata kepada wartawan di Dublin, kerajaan dan Persatuan Bolasepak Ireland (FAI) perlu “melakukan perkara yang betul” dan “enggan mengambil bahagian”, menurut penyiar awam RTE.

Perkara itu berlaku menjelang usul parti Sinn Fein yang dijadual dibahaskan lewat Selasa dan usul oleh Parti Demokrat Sosial pada Rabu, di tengah-tengah bantahan orang awam di Ireland terhadap perlawanan bola sepak antarabangsa negara itu yang akan datang menentang Israel.

FAI pada Isnin menyatakan bahawa lembaga pengarahnya terus bermesyuarat untuk “membincangkan aspek operasi” penganjuran perlawanan bola sepak antarabangsa lelaki Liga Negara-Negara yang dijadual berlangsung pada 4 Okt di Stadium Aviva, Dublin.

Sementara itu, Ahli Parlimen Parti Demokrat Sosial, Sinead Gibney berkata, cadangan memindahkan perlawanan Ireland-Israel ke lokasi berkecuali akan “meletakkan kita dalam situasi paling sukar”, apabila “semua tekanan itu akan diletakkan ke atas para pemain.”

“Dan itulah sesuatu yang kami mahu elakkan sejak hari pertama,” katanya.

Gibney berkata kerajaan perlu “menghalang atau mengecualikan Israel daripada mana-mana pertandingan sukan antarabangsa” dan sentimen awam yang “amat besar” sedang dizahirkan menerusi “kempen Hentikan Perlawanan”.

Ahli politik Parti Demokrat Sosial itu berkata, beliau menganggap tindakan pegawai kerajaan yang menyatakan mereka tidak akan menghadiri sebarang perlawanan seperti itu sebagai “amat hipokrit”.

Ahli Parlimen parti People Before Profit-Solidarity Richard Boyd Barrett, Ruth Coppinger dan Paul Murphy turut menyuarakan kebimbangan sama, dengan Barrett menegaskan bahawa “sekadar memindahkannya ke wilayah berkecuali tidak memadai.”

Mengulas cadangan yang bocor bahawa FAI terbuka untuk memindahkan perlawanan dari Dublin ke Hungary, beliau menegaskan: “Mesej kami jelas, perlawanan itu perlu dibatalkan sepenuhnya dan tidak seharusnya berlangsung di venue berkecuali.”

Ahli Parlimen Parti Buruh, Duncan Smith turut menyatakan bahawa perlawanan itu perlu diboikot.

Pemimpin parti Aontu Peadar Toibin berkata beliau tidak berpendapat perlawanan itu wajar diteruskan dan menegaskan partinya akan menyokong usul pembangkang.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video