Skip to main content

Dunia

Formula Satu: Russell kembali sebagai juara GP di Austria, atasi Verstappen

Formula One F1 - Austrian Grand Prix - Red Bull Ring, Spielberg, Austria - June 28, 2026 Mercedes' George Russell celebrates on the podium after winning the Austrian Grand Prix REUTERS/Leonhard Foeger TPX IMAGES OF THE DAY
Russell yang memulakan perlumbaan di petak pertama tidak berdepan cabaran sengit sepanjang saingan, sekali gus kembali menaiki podium selaku juara buat kali pertama sejak perlumbaan pembukaan musim di Australia pada Mac lepas. - Gambar Reuters

SPIELBERG, AUSTRIA: Pemandu pasukan Mercedes, George Russell kembali menemui rentak kemenangan selepas berjaya menyekat kemaraan Max Verstappen untuk menjuarai perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Austria pada Ahad, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Russell yang memulakan perlumbaan di petak pertama tidak berdepan cabaran sengit sepanjang saingan, sekali gus kembali menaiki podium selaku juara buat kali pertama sejak perlumbaan pembukaan musim di Australia pada Mac lepas.

Kejayaan itu merupakan kemenangan ketujuh dalam kerjayanya.

Sementara itu, Verstappen mencatatkan keputusan terbaiknya musim ini dengan menduduki tempat kedua, melonjak daripada petak kelima dalam perlumbaan di halaman sendiri bagi pasukan Red Bull. 

Mengekori di tempat ketiga ialah pendahulu kejuaraan, Kimi Antonelli yang memandu sebuah lagi jentera Mercedes.

Verstappen sebelum itu ketinggalan kira-kira 10 saat selepas hentian pit terakhir dalam keadaan cuaca yang panas terik.

Beliau menamatkan perlumbaan 1.6 saat di belakang Russell dengan jentera yang telah dinaik taraf, namun Russell kekal mengawal penuh saingan di hadapan manakala Verstappen terpaksa menepis asakan saat-saat akhir daripada Antonelli.

Dalam pada itu, pasukan Ferrari terlepas kedudukan podium walaupun dua pemandunya, Charles Leclerc dan Lewis Hamilton, masing-masing memulakan perlumbaan di petak kedua dan ketiga

Hamilton yang merangkul kemenangan pertamanya bersama pasukan Scuderia itu dua minggu lepas di Barcelona, sekadar menduduki tempat kelima di belakang pemandu McLaren, Oscar Piastri, manakala Leclerc menamatkan saingan di tempat kelapan.

Sepanjang perlumbaan, Hamilton terlibat dalam dua persaingan sengit dengan Verstappen yang menyaksikan pertembungan antara bekas juara dunia, sebelum pemandu Belanda itu akhirnya berjaya mengatasi seteru lamanya yang menggunakan strategi tiga hentian pit yang tidak membuahkan hasil.

Antonelli yang telah memenangi lima perlumbaan musim ini kekal menerajui carta kejuaraan dunia, manakala Russell kembali melonjak ke kedudukan kedua selepas memintas kedudukan Hamilton.

-- BERNAMA-dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement