MEXICO CITY: Polis Mexico City pada Jumaat mengumumkan bahawa 19 penunjuk perasaan telah ditahan susulan demonstrasi semasa pembukaan Piala Dunia di sini, lapor Anadolu Ajansi.
Ibu negara Mexico itu menyaksikan protes besar-besaran di seluruh bandar raya berkenaan ketika pasukan kebangsaan memulakan kempen Piala Dunia.
Guru, kesatuan pekerja, pelajar, keluarga individu yang hilang, kumpulan feminis dan organisasi pro-Palestin menyertai demonstrasi berkenaan.
Mobilisasi itu menarik ribuan peserta ke laluan utama, khususnya di daerah selatan dan sepanjang jalan utama yang menghubungkan bahagian lain ibu negara itu ke stadium yang menjadi lokasi perlawanan pembukaan.
Sebagai tindak balas, pihak berkuasa mengerahkan 56,320 anggota keselamatan.
“Perlu dimaklumkan bahawa semasa perlawanan antara Mexico dan Afrika Selatan, demonstrasi berlaku di kawasan sekitar stadium dan sekumpulan individu bertopeng membaling bunga api, batu serta objek lain ke arah pegawai polis.
"Pegawai polis berjaya menghalang mereka daripada mara ke stadium sebelum menyuraikan kumpulan itu,” menurut kenyataan Sekretariat Keselamatan Rakyat Mexico City (SSC).
Pihak berkuasa pada awalnya menahan lapan individu pada Khamis, kebanyakannya pelajar, selain dua jurugambar media. Kesemua mereka kemudiannya dibebaskan.
Menurut SSC, seramai 11 pegawai polis cedera semasa demonstrasi itu dan menerima rawatan perubatan.
-- BERNAMA-ANADOLU