Skip to main content

Politik

[TERKINI] Sidang media batal, Aminuddin ada urusan

SEREMBAN – “Biasa-biasa hari Rabu.”  Demikian reaksi ringkas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun ketika ditanya pemberita mengenai kehadirannya ke Istana Hinggap pada Rabu.
Desas desus mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan semakin panas susulan situasi politik di negeri itu. - Foto Sinar Harian

SEREMBAN: Sidang media Pasca Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan (MMKN) oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun di Wisma Negeri yang dijadualkan jam 1.30 tengah hari tadi dibatalkan.

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Mohd Shahir Mohd Shah berkata, penangguhan itu dibuat berikutan Aminuddin mempunyai urusan penting.

“Sidang media hari ini ditangguhkan atas Menteri Besar ada urusan penting,” katanya ringkas.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas urusan penting yang dimaksudkan itu.

Terdahulu, Mesyuarat MMKN yang dipengerusikan Aminuddin yang dihadiri Barisan Exco Kerajaan Negeri berlangsung kira-kira hampir dua jam yang tamat 12.30 tengahari tadi.

Bagaimanapun kira-kira jam 1.24 petang, Aminuddin dilihat menaiki kenderaan rasmi kembali ke Wisma Negeri sebelum memasuki bangunan berkenaan.

Desas desus mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan semakin panas susulan situasi politik di negeri itu.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini turut berkenan menerima menghadap di Istana Hinggap, di Seremban pagi tadi.

Pertemuan itu berlangsung hampir dua jam selepas Aminuddin memasuki istana kira-kira 9 pagi.

Aminuddin ketika ditemui pemberita selepas itu berkata pertemuan itu adalah rutin dilakukan beliau pada setiap Rabu sebelum mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
 

Must Watch Video

Advertisement