Skip to main content

Malaysia

KPKM salur RM850,000 tingkat infrastruktur pertanian KADA

πŸŒΎπŒπ€π‰π‹πˆπ’ π’πŽπ‹π€π“ 𝐇𝐀𝐉𝐀𝐓 π’π„πŒππ„ππ€ ππ„π‘πŒπ”π‹π€π€π ππ„ππ€ππ€πŒπ€π ππ€πƒπˆ πŒπ”π’πˆπŒ 𝟏/πŸπŸŽπŸπŸ” πŠπ€πƒπ€ 🌾_FB Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu
Mohd Faizul pada Majlis Solat Hajat Sempena Permulaan Penanaman Padi Musim 1/2026 KADA,Β hari ini. - Gambar Facebook KADA

KOTA BHARU: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyalurkan peruntukan tambahan RM850,000 bagi meningkatkan infrastruktur pertanian di kawasan jelapang padi di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).

Pengurus Besar KADA Mohd Faizul Mustafa berkata peruntukan itu akan digunakan untuk pembinaan telaga tiub di kawasan yang memerlukan, khususnya kawasan sawah yang berdepan masalah bekalan air pada musim penanaman yang lepas. 

Beliau berkata beberapa kawasan di Pasir Mas dan Kota Bharu dikenal pasti mengalami kekurangan bekalan air, justeru pembinaan telaga tiub akan dilaksanakan mengikut keperluan sama ada dengan kemudahan enjin atau tanpa enjin.

β€œKami amat menghargai peruntukan tambahan yang disalurkan KPKM dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar. Bantuan ini membolehkan KADA menambah baik kemudahan sedia ada bagi membantu petani menangani isu bekalan air, terutama ketika musim kemarau,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Solat Hajat Sempena Permulaan Penanaman Padi Musim 1/2026 KADA, di sini hari ini.

Mohd Faizul berkata dengan sokongan kemudahan Pam Kemubu serta pelbagai insentif kerajaan, KADA menyasarkan hingga 95 peratus daripada keseluruhan 24,500 hektar kawasan sawah di bawah seliaannya dapat diusahakan pada musim ini.

Beliau berkata keluasan tanaman itu dijangka menghasilkan kira-kira 200,000 tan metrik padi, tertakluk kepada keadaan cuaca dan keupayaan sistem pengairan beroperasi dengan baik sepanjang musim.

Sementara itu, beliau berkata musim penanaman padi 1/2026 dijadual bermula pada awal Jun, manakala proses penuaian dijangka selesai selewat-lewatnya pada minggu kedua November.

β€œJika semuanya berjalan mengikut jadual, insya-Allah padi dapat dituai sebelum musim banjir, sekali gus mengurangkan risiko kerugian kepada petani. Namun, keadaan boleh berubah sekiranya berlaku faktor luar jangka seperti banjir lebih awal daripada kebiasaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Faizul berkata petani yang gagal memulakan penanaman mengikut jadual ditetapkan, iaitu selewat-lewatnya pada penghujung bulan ini, perlu menanggung sendiri sebarang kerugian yang berlaku.

Beliau berkata golongan itu juga tidak layak menerima manfaat di bawah Skim Takaful Tanaman Padi (STTP), yang menawarkan perlindungan hingga RM3,000 sehektar sekiranya tanaman musnah akibat bencana alam, penyakit atau serangan perosak.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement