SEREMBAN: Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Mohd Zafir Ibrahim menjelaskan jawatan Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU) adalah jawatan lantikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Beliau berkata individu yang dilantik akan memegang jawatan selama yang diperkenankan oleh baginda mengikut Fasal 25 Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).
“Oleh yang demikian, mana-mana pihak selain Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa untuk menggantung, menamatkan, menggantikan atau melantik mana-mana individu lain sebagai Setiausaha DKU,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada 29 Mei lepas, media melaporkan enam daripada lapan ahli DKU Negeri Sembilan menggantung tugas Raja Norazli Raja Nordin sebagai Setiausaha DKU kerana didakwa gagal mematuhi perintah memanggil Sidang Mesyuarat Khas DKU.
Mohd Zafir berkata kerajaan negeri turut mengambil maklum pendirian yang diambil Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin berkenaan kedudukan DKU dan Setiausaha DKU yang dilantik.
Beliau berkata berdasarkan UUTKNS, kerajaan negeri berpendirian bahawa DKU adalah sebuah institusi di bawah Perlembagaan yang diketuai oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan berdasarkan Fasal-Fasal 16, 17 dan 19 UUTKNS.
“Justeru, sebarang persidangan atau mesyuarat yang diadakan tanpa mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, tidaklah boleh dianggap sebagai suatu persidangan DKU,” katanya.
-- BERNAMA