Skip to main content

Malaysia

KPDN Kedah komited bantu petani dapat permit khas bahan api

ALOR SETAR, 28 Mei -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah kini memperluas fokus pemantauan penyeludupan dan penyelewengan diesel, bukan sahaja di kawasan sempadan negara, tetapi turut melibatkan kawasan selatan negeri itu.  Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kedah Zalina Aziz berkata trend penyeludupan diesel di Kedah ketika ini menunjukkan perubahan apabila kegiatan itu tidak lagi hanya tertumpu di laluan sempadan seperti Bukit Kayu Hitam dan Kota Putra di Padang Terap, sebal
Zalina berkata permohonan permit khas itu adalah percuma dan boleh dibuat secara dalam talian menerusi Sistem Permit Bekalan KPDN. - Gambar fail/Bernama

ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah komited membantu golongan petani mendapatkan permit khas bagi pembelian petrol atau diesel melebihi 20 liter untuk kegunaan jentera ladang.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kedah Zalina Aziz berkata pihaknya melaksanakan pelbagai program turun padang dan sesi libat urus bagi memahami keperluan petani memperoleh bahan api dalam kuantiti yang banyak bagi mengendalikan jentera seperti mesin rumput, pam air atau traktor. 

“Petani boleh mohon permit khas untuk beli petrol atau diesel dalam tong di stesen minyak di bawah kategori pertanian dan penternakan. Mereka boleh beli bahan api melebihi 20 liter, mengikut kuantiti diluluskan berdasarkan keluasan tanah serta keperluan penggunaan jentera pertanian,” katanya kepada Bernama di sini. 

Zalina berkata permohonan permit khas itu adalah percuma dan boleh dibuat secara dalam talian menerusi Sistem Permit Bekalan KPDN. 

Beliau berkata pembelian menggunakan permit itu pula hanya boleh dilakukan di stesen minyak yang ditetapkan dan berdekatan dengan lokasi ladang atau kawasan operasi pemohon.

Menurut Zalina, bagi memudahkan urusan petani, KPDN mengadakan siri jelajah libat urus melibatkan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) di 11 kawasan di seluruh negeri berkenaan.

“Hasil program itu, sebanyak 494 permit khas baharu diluluskan dari 1 Jan hingga 1 Jun 2026. Kami membawa sendiri peralatan dan petugas ke lokasi yang ditetapkan bagi membantu proses permohonan yang dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian.

“Kami faham ada petani dan pesawah yang kurang mahir menggunakan sistem dalam talian. Sebab itu KPDN mengambil inisiatif turun padang untuk memberi penerangan serta membantu mereka membuat permohonan secara terus di lokasi,” katanya.

Beliau berkata sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila setiap program mencatatkan antara 20 hingga 30 permohonan baharu.

“Penerimaan petani dan pesawah sangat baik. Ramai hadir ke setiap lokasi untuk mendapatkan penjelasan serta membuat permohonan permit khas,” katanya.

Zalina berkata setakat ini tiada masalah dalam proses permohonan kerana kebanyakan pemohon telah mendapat pengesahan daripada agensi berkaitan seperti PPK dan MADA.

Beliau berkata tahap kesedaran dalam kalangan petani mengenai keperluan permit khas itu juga semakin meningkat hasil program turun padang yang dijalankan.

“Semakin ramai petani memahami pembelian petrol atau diesel melebihi had 20 liter memerlukan permit khas. Setiap kali KPDN mengadakan sesi libat urus bersama PPK dan MADA, ramai yang terus mengambil peluang untuk membuat permohonan.

“Kami akan terus memperhebatkan program penerangan dan bantuan permohonan bagi memastikan keperluan bahan api sektor pertanian dapat dipenuhi mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement