Skip to main content

Bisnes

Bursa Malaysia ditutup rendah susulan penurunan saham telekomunikasi, perbankan

61757402235_BursaMalaysia.jpg
Pada 5 petang, FBM KLCI susut 10.33 mata, atau 0.61 peratus, untuk ditutup pada paras terendah intra harinya pada 1,672.74 berbanding 1,683.07 pada Jumaat minggu lepas. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Indeks petunjuk pasaran Bursa Malaysia susut daripada kenaikan sebelumnya untuk ditutup rendah pada Rabu terjejas oleh penurunan dalam sektor telekomunikasi dan perbankan, meskipun prestasi positif di kebanyakan pasaran di Asia.

Naib presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata pasaran tempatan terus bergelut di tengah-tengah kebimbangan berterusan terhadap ketegangan geopolitik, harga minyak yang tinggi dan ketidakpastian berhubung prospek kadar faedah global.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 10.33 mata, atau 0.61 peratus, untuk ditutup pada paras terendah intra harinya pada 1,672.74 berbanding 1,683.07 pada Jumaat minggu lepas.

Bursa tempatan menyambung kembali dagangan hari ini selepas ditutup pada Isnin dan Selasa berikutan cuti umum.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka lebih tinggi naik 4.06 mata kepada 1,687.13 dan melonjak ke paras tertinggi intra harinya kepada 1,693.09 semasa sesi pagi sebelum hilang momentum dan seterusnya ditutup lebih rendah.

Suasana pasaran negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 702 berbanding 517, manakala 535 kaunter tidak berubah, 849 tidak diniagakan dan 13 digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 3.85 bilion unit bernilai RM4.69 bilion daripada 4.94 bilion unit bernilai RM10.74 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Thong berkata FBM KLCI susut daripada kenaikan sebelumnya dan ditutup rendah apabila para pelabur kekal tidak memasuki pasaran dan mengelakkan pembelian agresif, susulan jangkaan sentimen pasaran akan terus berhati-hati dengan aktiviti dagangan selektif dalam jangka masa terdekat.

“Bagaimanapun, penurunan harga baru-baru ini telah menyebabkan pasaran berada pada kedudukan terlebih jual, yang boleh menarik minat aktiviti membeli saham berharga rendah terutamanya dalam saham mewah yang kukuh secara asasnya,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, pengarah strategi pelaburan dan ahli ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata data pasaran buruh Amerika Syarikat (AS) yang kukuh dan bacaan inflasi yang berdaya tahan telah meningkatkan lagi jangkaan bahawa Rizab Persekutuan AS mungkin mengekalkan kadar faedah tidak berubah untuk tempoh yang lebih  lama.

Bagaimanapun, beliau berkata penurunan saham perbankan tempatan berkemungkinan besar disebabkan oleh strategi pelaburan dan pengambilan untung berbanding reaksi sektor itu terhadap data ekonomi AS.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut 22 sen kepada RM10.42, Tenaga Nasional turun 20 sen kepada RM14.08, CIMB berkurangan 28 sen kepada RM7.20 dan IHH menyusut 25 sen kepada RM8.76. Public Bank meningkat sebanyak tiga sen kepada RM4.74.

Dalam kalangan saham aktif, Bus Cap yang memulakan dagangan sulung di Pasaran ACE meningkat 8.5 sen kepada 31.5 sen, Zetrix menokok dua sen kepada 82.5 sen, VS Industry naik sedikit sebanyak 1.5 sen kepada 22 sen, Top Glove menambah lima sen kepada 85.5 sen, manakala Nationgate turun empat sen pada 84 sen.

Saham yang paling mencatatkan keuntungan termasuklah Nestle, yang naik RM2.52 kepada RM93.52, manakala Petronas Dagangan melonjak 86 sen kepada RM18.60 dan Malayan Cement meningkat 40 sen kepada RM6.94. Ajinomoto menokok 38 sen kepada RM14.24, dan Petronas Chemicals menambah 31 sen kepada RM5.52.

Dalam kalangan saham yang mencatatkan kerugian, United Plantations susut 96 sen kepada RM30.12, Kuala Lumpur Kepong turun 82 sen kepada RM19.50, Fraser & Neave berkurangan 64 sen kepada RM27.66, Batu Kawan merosot 36 sen kepada RM19.60 dan Hong Leong Industries menyusut 34 sen kepada RM18.66.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 67.44 mata kepada 12,512.68, Indeks FBM Top 100 turun 70.04 mata kepada 12,347.50, dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 22.69 mata kepada 12,581.38.

Indeks FBM Mid 70 turun 78.10 mata kepada 18,406.22 dan Indeks FBM ACE berkurangan 38.15 mata kepada 4,725.66.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik sedikit 2.97 mata kepada 200.79, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 203.26 mata kepada 19,321.03, Indeks Perladangan turun 49.11 mata kepada 8,450.43, manakala Indeks Tenaga meningkat 9.26 mata kepada 788.01.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 2.20 bilion unit bernilai RM4.34 bilion daripada 3.56 bilion unit bernilai RM10.15 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 969.97 juta unit bernilai RM115.65 juta daripada 830.47 juta unit bernilai RM105.18 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 671.50 juta unit bernilai RM228.81 juta daripada 550.09 juta unit bernilai RM218.76 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 276.10 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (587.97 juta), pembinaan (192.26 juta), teknologi (315.62 juta), perkhidmatan kewangan (155.95 juta), hartanah (115.25 juta), perladangan (38.91 juta), amanah pelaburan hartanah (22.02 juta), dana tertutup (22,900), tenaga (143.26 juta), penjagaan kesihatan (192.62 juta), telekomunikasi dan media (62.33 juta), pengangkutan dan logistik (29.21 juta), utiliti (76.46 juta), dan amanah perniagaan (384,900).

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement