Skip to main content

Politik

Terbuka kembali bertanding di Selangor, Zafrul serah keputusan kepada pucuk pimpinan

KUALA LUMPUR, 15 Mac -- Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika ditemui media pada Program Singgah Sahur bersama pasukan petugas hadapan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di sini, awal pagi tadi.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Hasrat untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum akan datang masih belum dimuktamadkan dan bergantung sepenuhnya kepada keputusan pucuk pimpinan parti jelas Exco Biro Politik PKR, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - Gambar fail/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Hasrat untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang masih belum dimuktamadkan dan bergantung sepenuhnya kepada keputusan pucuk pimpinan parti kata Exco Biro Politik PKR, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau yang juga Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau telah menyuarakan hasrat peribadi untuk diberi peluang bertanding di negeri kelahirannya, Selangor, namun keputusan muktamad masih belum dimuktamadkan.

“Saya secara peribadi memang tidak ada target (sasaran). Terpulang kepada pimpinan, terutamanya Presiden. Saya telah memberikan cadangan supaya kalau boleh, bila ada pilihan raya umum terutamanya, diberi peluang untuk bertanding di negeri saya, di Selangor,” katanya.

Menurutnya, setakat ini beliau banyak meluangkan masa di kawasan Ampang serta kawasan sekitar seperti Pandan, selain turut membantu memantau beberapa kawasan lain atas kapasiti tugas dalam parti dan sebagai wakil kepada Perdana Menteri.

“Di Ampang saya memang banyak meluangkan masa, begitu juga di kawasan sekitar Pandan dan beberapa kawasan lain yang saya diminta bantu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Apresiasi Yayasan TZA di Kuala Lumpur pada Khamis.

Beliau menambah, sebarang keputusan berkaitan pencalonan hanya akan ditentukan oleh Presiden parti dan kepimpinan tertinggi PKR.

“Kalau diberi mandat, saya harap di Selangor. Tapi tunggulah keputusan parti,” katanya lagi.

Must Watch Video

Advertisement