SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) menggesa pengundi di Negeri Sembilan membuat pilihan berdasarkan prestasi dan pencapaian sebenar kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata pengundi tidak sepatutnya dipengaruhi sentimen atau dakwaan yang tidak berasaskan fakta.
“Mesej yang ingin disampaikan mudah iaitu pengundi tidak perlu membuat eksperimen baharu jika kerajaan sedia ada mampu memberikan kestabilan dan hala tuju yang jelas.
“Kita nak supaya pemikiran rakyat dapat kita corakkan sehingga menjadi lebih matang dan lebih mantap di mana bila hendak pilih kerajaan, isu yang terpenting adalah prestasi dan perkhidmatan yang diberikan, bukan isu-isu yang ditimbulkan yang emosi, yang sentimen, yang tidak berasas dan tidak ada bukti, tetapi hendak menakut-nakutkan… takut Melayu terancam, Islam terancam dan sebagainya,” katanya dalam satu sidang media oleh PH, di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, pendekatan itu merupakan corak politik yang dibawa PH sepanjang kempen PRN Negeri Sembilan kali ini.
Khalid berkata, dalam suasana kempen yang lazimnya tertumpu kepada isu semasa, PH berusaha membina keyakinan bahawa kerajaan negeri bukan sekadar menyelesaikan masalah semasa, malah merancang pembangunan untuk jangka panjang.
“Sebab itu beberapa isu yang dibangkitkan oleh Tok Min (Datuk Seri Aminuddin Harun) berkisar kepada perkara yang paling dekat dengan kehidupan rakyat seperti peluang pekerjaan, kemampuan memiliki rumah, pendapatan petani, kebajikan warga emas dan sama ada anak muda akan terus memilih untuk membina kehidupan di Negeri Sembilan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap rakyat Negeri Sembilan membuat pilihan berdasarkan pencapaian sebenar kerajaan negeri.