Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Tengku Zafrul ‘balik kampung’ bantu calon PH pertahan DUN Pilah

zafrul, PH, pilah  Foto Astro AWANI
Tengku Zafrul berkata, beliau melihat Noorzunita banyak melakukan gerak kerja kempen menerusi pendekatan turun padang dan bertemu masyarakat.

KUALA PILAH: Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz hari ini 'balik kampung' di daerah ini yang menjadi tempat beliau membesar, bagi membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah, Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim.

Penasihat Kanan kepada Perdana Menteri itu, berkata sepanjang berada di kawasan berkenaan, beliau melihat Noorzunita banyak melakukan gerak kerja kempen menerusi pendekatan turun padang dan bertemu masyarakat.

“Balik kampung ni memanglah ‘special’ sikit, walaupun saya jarang balik sebab sibuk, saya dapat lihat bahawa apa yang telah dibuat oleh Datuk Noorzunita selama menjadi ADUN di sini amat membantu kita berkempen.

“Saya turun ke padang pun ramai yang mengatakan Datuk Noorzunita banyak membantu mereka.

“Insya-Allah, saya harap kita dapat pertahankan kerusi di DUN Pilah ini,” katanya ketika ditemui media selepas sesi ‘walkabout’ bersama Noorzunita, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata analisis awal yang dibuat sebelum kempen menunjukkan sentimen pengundi di Pilah agak positif terhadap calon PH.

Beliau berkata, penerimaan terhadap calon juga dilihat tinggi berdasarkan pertemuan bersama pengundi di lapangan.

“Sentimen pengundi di Pilah ini agak positif kepada calon kita. Alhamdulillah, dalam pertemuan kita di lapangan, penerimaan calon kita tinggi.

“Pada masa yang sama, memanglah kita tidak boleh terlalu ‘overconfident’  ataupun ‘complacent’, kerja itu kita teruskan. Insya-Allah, DUN Pilah ini kita dapat pertahankan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata politik dalam kempen pilihan raya perlu dinilai berdasarkan fakta dan angka, bukannya dipengaruhi emosi serta retorik semata-mata.

Tambah beliau, pengundi perlu melihat kepada rekod dan pencapaian yang telah dilaksanakan, termasuk dari aspek pertumbuhan ekonomi serta pelaburan, berbanding hanya memberi tumpuan kepada sentimen politik.

“Negeri Sembilan contohnya dari segi pertumbuhan ekonomi, dari segi pelaburan pun dah mencecah (RM)19 bilion, rizab pun dah lebih (RM)1 bilion.

“Ini semua menunjukkan Kerajaan Negeri Sembilan sejak 2018 sebenarnya bila Tok Min (Datuk Seri Aminuddin Harun) jadi pemimpin di negeri ini menunjukkan pertumbuhan yang signifikan,” katanya.

Susulan itu, beliau berkata sokongan berterusan kepada PH penting bagi memastikan asas pembangunan yang telah dibina sejak 2018 dapat dipertingkatkan lagi.

Must Watch Video

Advertisement