Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: 'Sanusi boleh datang NS, ambil maklum kenyataan Zahid' - Ahmad Samsuri

PN,mesyuarat
Ahmad Samsuri berkata, kehadiran Menteri Besar Kedah itu bagaimanapun bergantung kepada kelapangannya. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang sekatan atau 'gag order' dikenakan terhadap mana-mana pempimpin Perikatan Nasional (PN) untuk turun berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, termasuk Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kehadiran Menteri Besar Kedah itu bagaimanapun bergantung kepada kelapangannya memandangkan beliau turut memikul tanggungjawab mentadbir negeri, seperti dilaporkan portal berita Pas, Harakah Daily.

"Kita tidak ada halangan. Tidak ada sebarang ‘gag order’ kepada sesiapa pun," katanya selepas pelancaran manifesto PN Negeri Sembilan di Kompleks Pas Negeri Sembilan (KOMPAS), Kampung Ampangan semalam.

Mengulas pandangan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai kesesuaian Muhammad Sanusi berkempen di Negeri Sembilan, Ahmad Samsuri berkata perkara itu diambil maklum.

"Itu pandangan beliau sebagai Pengerusi BN. Kita ambil maklum dan saya percaya ia bergantung kepada Sanusi sama ada beliau dapat datang atau tidak selepas daripada ini.

"Kerana sama dengan saya, beliau juga adalah Menteri Besar. Selain daripada berkempen politik, kita masih lagi ada tugas di negeri. Jadi kalau dia dapat datang, dia datanglah," katanya lagi.

Mengulas kebimbangan bahawa pendekatan kempen Muhammad Sanusi boleh menjejaskan sokongan pengundi, Ahmad Samsuri berkata tumpuan perlu diberikan kepada konteks sebenar kenyataan yang disampaikan oleh pemimpin itu.

Beliau berkata, Muhammad Sanusi juga telah memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didakwa memesongkan fakta ucapannya.

Semalam, Ahmad Zahid dilaporkan mengingatkan Muhammad Sanusi supaya tidak memainkan isu berkaitan kaum dan agama sepanjang tempoh berkempen bagi PRN Negeri Sembilan.

Menurut beliau, sekiranya PN berhasrat menjalinkan kerjasama politik, ia seharusnya dilakukan dengan pendekatan yang lebih berhemah tanpa membangkitkan isu-isu lain yang boleh mencetuskan polemik.

Ahmad Zahid turut menyarankan agar Muhammad Sanusi memberi tumpuan kepada tanggungjawabnya sebagai Menteri Besar Kedah sehingga hari pengundian.

Beliau juga berpandangan Muhammad Sanusi tidak perlu turun berkempen di Negeri Sembilan dan menyerahkan urusan kempen di negeri itu kepada pihak yang bertanding.

Must Watch Video

Advertisement