Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Polis ingatkan parti politik, penyokong tidak cetus provokasi

NILAI, 28 Julai -- Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad bercakap kepada media selepas meninjau suasana pengundian awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, hari ini.  -- fotoBERNAMA
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad bercakap kepada media selepas meninjau suasana pengundian awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, hari ini. - Foto Bernama

NILAI: Semua parti politik, penyokong dan orang ramai diingatkan supaya terus mematuhi undang-undang serta tidak melakukan sebarang provokasi sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata ini termasuk menyebarkan berita palsu, mengeluarkan ucapan berunsur hasutan atau melakukan apa-apa tindakan yang boleh mengganggu keamanan dan ketenteraman awam.

“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan proses demokrasi itu berlangsung dengan aman, harmoni dan teratur.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus melaksanakan tanggungjawab secara profesional, berkecuali dan berintegriti bagi memastikan keseluruhan proses PRN berlangsung dengan selamat dan teratur sehingga selesai,” katanya pada Sidang Media Undi Awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata proses pengundian awal setakat ini berjalan lancar dengan keadaan keselamatan kekal terkawal.

Katanya, polis akan terus memantau perkembangan semasa serta mengambil tindakan segera terhadap sebarang pelanggaran undang-undang atau insiden yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan kelancaran proses pilihan raya.

Sebanyak 38 pusat mengundi awal bagi PRN Negeri Sembilan ke-16 dibuka tepat pada 8 pagi ini bagi membolehkan 22,339 anggota pasukan keselamatan serta pasangan masing-masing menunaikan tanggungjawab mereka. 

Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sejumlah 16,884 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama-sama pasangan akan melaksanakan tanggungjawab mereka di lapan pusat mengundi ditetapkan.

Baki 5,455 pemilih terdiri daripada warga PDRM bersama dengan pasangan pula dijadualkan menunaikan hak mereka di 30 pusat mengundi.

Kesemua pusat pengundian berkenaan akan ditutup secara berperingkat mengikut jadual yang ditetapkan SPR bermula dari 12 tengah hari ini hingga 5 petang.

PRN Negeri Sembilan ke-16 menyaksikan 103 calon merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan hari mengundi bagi 889,490 juta pemilih ditetapkan Sabtu ini.

Must Watch Video

Advertisement