Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: MVV perlu ikut pelan induk, elak pembangunan tidak tersusun - Mohamad Hasan

mohamad hasan_AWANI
Mohamad (duduk, tengah) pada sidang media selepas pelancaran Manifesto Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, di sini, pada Jumaat. - Bernama

SENDAYAN: Barisan Nasional (BN) berikrar memastikan pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV) kembali dilaksanakan mengikut pelan induk (master plan) sekiranya diberi mandat mentadbir Negeri Sembilan.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, itu bagi mengelakkan pembangunan tidak tersusun yang akhirnya membebankan rakyat.

Jelasnya lagi, pembangunan MVV perlu diselaraskan oleh pemaju utama (master developer) yang bertanggungjawab memastikan keseluruhan pelan pembangunan dilaksanakan mengikut reka bentuk asal.

“Pembangunan berskala besar seperti MVV tidak boleh dilaksanakan dengan menjual tanah secara berasingan mengikut kehendak pemaju kerana pendekatan itu boleh menjejaskan perancangan bandar pada masa hadapan.

“Macam MVV sekarang ini, dia jual bidang tanah (parcel of land). Tidak boleh macam itu kerana dia mesti ikut master plan. Kalau kita buat parcel begitu susah kerana ikut kehendak pemaju masing-masing.

“Dia mesti ikut ada master developer. Pemaju induk yang akan memastikan grand design untuk Malaysia Vision Valley itu mesti dipatuhi.

“Jalan dia, parit dia macam mana supaya nanti pembangunan yang besar ini tidak menyusahkan rakyat pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Manifesto Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, di sini, pada Jumaat.

Tambah Mohamad Hasan, pembangunan MVV yang meliputi kawasan lebih 100,000 hektar perlu diatur secara komprehensif bagi mengelakkan masalah infrastruktur, sistem saliran dan perancangan jalan raya pada masa depan.

“Kita kena selaraskan Malaysia Vision Valley ini. Penguruan bandar yang besar itu mesti diuruskan oleh master developer. Kita tak boleh jual tanah begitu sahaja, jadi huru-hara nanti pembangunan kita.

“Mesti ikut pelan besar itu. Kita juga ada kawasan lapang yang dirancang sebagai (mirip) Central Park di New York untuk tempat orang beriadah dan bernafas.

“Ini merupakan bandar baharu yang dibangunkan di atas kawasan greenfield (tanah yang belum dibangunkan atau diteroka), jadi kita boleh urus pembangunan ini dengan baik,” katanya.

Katanya lagi, pelan pembangunan MVV sebelum ini turut mendapat pandangan daripada pakar perancangan bandar bertaraf antarabangsa bagi memastikan projek itu menjadi sebuah bandar moden yang mampan dan terancang.

Katanya, antara institusi yang terlibat ialah Princeton University, Harvard University, University of Cambridge, National University of Singapore (NUS) dan Tsinghua University, yang masing-masing menyumbang pandangan dalam penyediaan pelan pembangunan tersebut.

Must Watch Video

Advertisement