Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Kenyataan Sanusi tidak boleh dipandang ringan - Azalina

Azalina dan Sanusi
Azalina berkata, setiap warganegara yang sah mempunyai tanah air yang sama, dilindungi oleh Perlembagaan yang sama dan berhak menjalani kehidupan dengan aman serta bermaruah.

KUALA LUMPUR: Kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menyentuh isu kaum tidak boleh dipandang ringan kerana berpotensi menimbulkan salah tanggapan dalam kalangan rakyat.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, retorik sedemikian memberi gambaran seolah-olah rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India mempunyai tanah air lain, sedangkan Malaysia merupakan tanah air mereka.

“Retorik sedemikian memberikan gambaran seolah-olah rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India mempunyai tanah air lain, dan hanya orang Melayu benar-benar memiliki Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Sebelum ini, Sanusi dilaporkan berkata Malaysia merupakan satu-satunya Tanah Melayu yang menjadi tempat orang Melayu, manakala kaum lain mempunyai negara asal masing-masing seperti India dan China.

Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat berkata demikian ketika Ceramah Perdana Barisan Nasional (BN) dan PN sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Jempol pada 24 Julai lalu.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan kedudukan Islam, institusi Raja-Raja Melayu serta hak Melayu dan bumiputera. 

Tambahnya, Perlembagaan yang sama turut menjamin hak dan kedudukan sah setiap warganegara tanpa mengira keturunan.

“Setiap warganegara yang sah mempunyai tanah air yang sama, dilindungi oleh Perlembagaan yang sama dan berhak menjalani kehidupan dengan aman serta bermaruah,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Negeri Sembilan berhak menikmati kempen PRN yang memberi tumpuan kepada isu yang benar-benar menyentuh kehidupan mereka.

Antaranya termasuk kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan, pendidikan, kesihatan dan pembangunan setempat.

Azalina turut menegaskan, Barisan Nasional (BN) tidak memerlukan politik yang menakut-nakutkan rakyat untuk meraih sokongan.

Sebaliknya, katanya, BN menawarkan kestabilan, pengalaman, kesederhanaan serta sebuah negara yang memberikan tempat kepada setiap warganegara.

“BN ialah rumah bersama seluruh rakyat Malaysia. Kita tidak akan membenarkan sesiapa merobohkan rumah ini demi keuntungan politik sementara,” katanya lagi.


 

Must Watch Video

Advertisement