Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Jalaluddin yakin calon BN mampu beri khidmat terbaik kepada rakyat

SEREMBAN, 15 Julai -- Pengarah Pilihan Raya BN Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias (tengah) menjawab pertanyaan wartawan semasa sidang media pada majlis pengumunan Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di pekarangan Stadium Tuanku Abdul Rahman, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Jalaluddin yakin kesemua calon yang diketengahkan parti itu mampu memberikan khidmat terbaik kepada rakyat sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 (PRN16). - Gambar Bernama

SEREMBAN: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias yakin kesemua calon yang diketengahkan parti itu mampu memberikan khidmat terbaik kepada rakyat sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 (PRN16).

Beliau berkata, perkara itu berdasarkan latar belakang, pencapaian serta pengalaman calon-calon BN yang diyakini mempunyai keupayaan untuk meneruskan agenda pembangunan negeri.

Menurut penyandang kerusi DUN Pertang itu, matlamat utama BN adalah memastikan Negeri Sembilan terus kekal stabil, makmur dan memberi kesejahteraan kepada seluruh rakyat.

“Kalau kita lihat dan kaji soal yang berkaitan dengan latar belakang calon dalam soal yang berkaitan dengan pencapaian ataupun pengalaman calon-calon ini sebenarnya, saya yakın mereka boleh memberikan khidmat yang terbaik selepas mereka diberikan kemenangan pada 1 Ogos nanti.

“Matlamat kita adalah untuk mengekalkan negeri yang terus stabil makmur dan yang penting sekali ialah untuk mensejahterakan kesemua rakyat di Negeri Sembilan,” katanya.

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN, di sini, pada malam Rabu.

Tambahnya, pengalaman luas BN dalam mentadbir kerajaan negeri sebelum ini menjadi antara faktor yang mampu meningkatkan keyakinan rakyat untuk kembali memberi kepercayaan kepada parti berkenaan.

“Barisan Nasional mempunyai pengalaman luas dalam mengurus tadbir kerajaan negeri buat sekian lama dan pengalaman ini pastinya akan memberikan suntikan semangat dan keyakinan rakyat untuk memberikan sekali lagi kepercayaan kepada barisan nasional bagi mempimpin kerajaan negeri selepas PRN16 nanti, Insya-Allah,” katanya.

BN sebelum itu mengumumkan akan bertanding di 25 kerusi DUN sempena PRN Negeri Sembilan ke-16.

Manakala baki 11 kerusi DUN yang belum diumumkan akan diputuskan pada Khamis malam, selepas perbincangan dengan pihak berkaitan.

Menurut Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, keputusan itu dibuat susulan rundingan yang masih berlangsung melibatkan BN dengan pihak lain.

Pada PRN Negeri Sembilan ke-15, BN memenangi 14 kerusi manakala Pakatan Harapan 17 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) lima kerusi.
 

Must Watch Video

Advertisement