JAKARTA: Malaysia berhasrat menjadi hab ASEAN dalam membangunkan pencipta teknologi masa depan seiring inisiatifnya membantu rantau ini beralih daripada menjadi pengguna teknologi import kepada inovator yang memacu masa depan digitalnya sendiri.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk merealisasikan cita-cita itu, disokong oleh universiti berfokuskan teknologi, pengembangan keupayaan keupayaan penyelidikan, penekanan kuat terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta kemampuannya untuk menarik pelajar antarabangsa.
Beliau berkata, daya saing masa depan rantau ini bergantung pada penghasilan teknologi buatan sendiri dan bukannya bergantung pada inovasi yang dibangunkan di tempat lain.
“Selama ini kita ialah pengguna teknologi, apa-apa yang dihasilkan di negara maju, negara Barat dan sebagainya.
“Tiba masanya kita sebagai satu rumpun kerana kebetulan kita masing-masing menekankan pada TVET, kita masing-masing menekankan pada STEM...esok, teknologi akan datang daripada negara-negara kita, negara-negara rumpun ini, dan kita tidak akan lagi jadi hanya sebagai pengguna,” katanya kepada Bernama.
Aminuddin berkata, pelajar yang mengikuti pengajian tinggi di Malaysia bukan sahaja memperoleh pengetahuan akademik tetapi juga pendedahan kepada industri dan teknologi yang sedang pesat membangun apabila negara itu terus menarik pelaburan dalam sektor bernilai tinggi.
Beliau berkata, universiti Malaysia telah membangunkan kepakaran khusus dalam bidang teknologi strategik, termasuk Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaya (UM) dalam kejuruteraan dan teknologi, Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam pembangunan vaksin, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam teknologi nuklear dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam aeroangkasa.
Beliau berkata, menarik pelajar dari seluruh ASEAN bukan semata-mata tentang meningkatkan pendaftaran antarabangsa, tetapi mengenai mewujudkan ekosistem akademik yang memupuk pertukaran idea, penyelidikan kolaboratif dan pembangunan teknologi masa depan.
“Saya menjangkakan kalau mereka dapat belajar di sini, mereka dapat berkongsi idea dan selain daripada ruang lingkup pandangan kita hanya di Malaysia sahaja, kita akan terima banyak lagi pelajar di luar negara dan kita berkongsi pendapat,” katanya.
Aminuddin berkata, populasi ASEAN kira-kira 680 juta, dengan demografi kebanyakannya golongan muda, menyediakan asas yang kukuh untuk melahirkan inovator masa depan, usahawan dan pencipta teknologi yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
Visi itu diketengahkan pada Seminar Pendidikan Tinggi Malaysia 2026 anjuran Education Malaysia Indonesia awal minggu ini di mana Aminuddin menyeru agar Malaysia dan Indonesia memperdalam kerjasama dalam pendidikan berfokuskan teknologi dengan memanfaatkan kekuatan akademik masing-masing untuk menyediakan bakat bagi industri baharu muncul dan memajukan inovasi serantau.
“Sebagai rakan strategik dalam pembangunan sumber daya manusia, kedua-dua negara serantau ini perlu komited untuk membina kerjasama jangka panjang yang mampan, menyokong pembangunan bakat yang relevan dengan keperluan masa depan dan memperkukuh hubungan Malaysia-Indonesia sebagai tonggak kestabilan dan kemajuan serantau,” katanya.
Malaysia kini mempunyai kira-kira 12,000 pelajar Indonesia manakala Education Malaysia Global Services (EMGS) merekodkan 159,138 pelajar antarabangsa di negara itu pada 2025, termasuk 56,565 belajar di universiti awam, dengan mahasiswa Indonesia membentuk kohort pelajar antarabangsa kedua terbesar selepas China.
-- BERNAMA