KUALA LUMPUR: Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang digabungkan dengan teknologi rantaian blok (blockchain) mampu memperkukuh kepercayaan digital serta membantu menangani ancaman kandungan palsu termasuk teknologi pemalsuan kandungan (deepfake).
Ketua Pegawai Eksekutif MY Blockchain Infrastructure (MBI) Sdn Bhd, Azhar Abu Talib berkata, blockchain boleh berperanan sebagai mekanisme pengesahan bagi memastikan ketulenan kandungan digital seperti rakaman video, siaran berita dan bahan penerbitan dengan merekodkan maklumat berkaitan sumber, pencipta serta masa kandungan itu diterbitkan.
"Sebagai contoh, kandungan yang disiarkan oleh Astro atau media kerajaan menjadi rujukan masyarakat kerana dianggap sebagai sumber yang sah. Namun, apabila kandungan dijana oleh AI dengan rupa dan penyampaian yang menyerupai manusia sebenar, sukar untuk menentukan sama ada ia benar atau telah dimanipulasi.
"Justeru, apabila kandungan asal disahkan menggunakan blockchain, kita dapat mengetahui siapa yang menerbitkan kandungan itu, siapa pengacaranya, dan bila ia disiarkan. Kandungan asal itu boleh dijadikan rujukan sekiranya terdapat cubaan menghasilkan kandungan palsu menggunakan AI," katanya dalam program Agenda AWANI yang disiarkan pada Rabu.
Beliau berkata, perkara itu semakin penting dengan mengambil contoh menjelang musim pilihan raya, apabila risiko penyebaran kandungan dimanipulasi atau palsu berpotensi meningkat.
"Itu pentingnya teknologi blockchain digabungkan dengan AI, dan harap ia dapat mengurangkan masalah 'deepfake'," ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, Azhar menambah, Malaysia kini berada pada landasan yang betul dari segi pembangunan ekosistem AI, termasuk peningkatan infrastruktur digital dan pertumbuhan pusat data.
Beliau menjelaskan, pembangunan infrastruktur digital bukan sahaja penting untuk membangunkan teknologi AI, malah bagi menyokong penggunaan AI oleh masyarakat pada masa hadapan.
"Semua kementerian perlu bekerjasama bagi memastikan AI yang dibangunkan adalah selamat, telus dan boleh dipercayai," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Teknologi Kumpulan MIMOS Berhad, Dr Zulaikha Kadim berkata, agensi penyelidikan dan pembangunan (R&D) kerajaan itu memainkan peranan penting dalam membangunkan teknologi AI yang selamat, dipercayai dan bertanggungjawab.
Menurutnya, MIMOS menerima mandat kerajaan melalui peruntukan Belanjawan 2026 bagi mempercepatkan penggunaan AI dalam industri, termasuk menjalankan aktiviti kajian berkaitan teknologi deepfake dan blockchain.
"Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kita memulakan pembangunan melibatkan pengesanan deepfake, penciptaan deepfake, pengesanan malware (perisian hasad) , serta pembendungan ancaman serta teknologi berkaitan keselamatan data dan AI untuk mengesan manipulasi media," katanya.
Kata Zulaikha, pembangunan teknologi oleh MIMOS bukan sekadar bertujuan melahirkan keupayaan kejuruteraan tempatan, tetapi turut membolehkan kepakaran itu dimanfaatkan bagi membangunkan aplikasi keselamatan digital.
Selain itu, MIMOS turut bekerjasama dengan pelbagai kementerian bagi memastikan teknologi yang dibangunkan dapat diterapkan serta memberi manfaat melalui perkhidmatan yang ditawarkan kepada pengguna.
Mengenai elemen data dalam pembangunan AI pula, Zulaikha menjelaskan, kekuatan sistem AI seperti model bahasa besar (LLM) adalah hasil daripada latihan menggunakan jumlah data digital yang besar.
Menurut beliau, tanpa data yang baik dan mencukupi, sistem AI tidak mampu memberikan hasil yang tepat.
Bagaimanapun, beliau turut memberi penekanan mengenai risiko manipulasi data oleh pihak tidak bertanggungjawab, termasuk melalui serangan siber seperti 'prompt injection' terhadap sistem AI.
"Walaupun sistem LLM mungkin telah dilatih menggunakan data yang banyak dan seimbang, penyerang masih boleh memanipulasi respons melalui arahan yang salah supaya keputusan yang diberikan tidak lagi selari dengan pengetahuan asal yang dipelajari sistem tersebut," katanya.