Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Dr Azizul tawar agenda kesihatan untuk DUN Rantau

Dr Azizul, Rantau
Dr Azizul berkata, latar belakang sebagai seorang pengamal perubatan membolehkan beliau membawa inisiatif yang lebih khusus bagi memenuhi keperluan penduduk Rantau yang mempunyai profil demografi berbeza.

REMBAU: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr Azizul Hakim Mahdi menawarkan pendekatan berteraskan kesihatan, pembangunan belia dan pemerkasaan ekonomi tempatan sebagai fokus utama sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16).

Menurutnya, latar belakang sebagai seorang pengamal perubatan membolehkan beliau membawa inisiatif yang lebih khusus bagi memenuhi keperluan penduduk Rantau yang mempunyai profil demografi berbeza.

Katanya, kawasan Sendayan yang pesat membangun didiami ramai golongan muda, manakala kawasan seperti pekan Rantau, Kampung Linsum dan Kuala Sawah pula mempunyai lebih ramai penduduk warga emas.

“Saya mewakili Pakatan Harapan, kita cuba beri nafas baharu; seorang calon orang muda, profesional dan juga berlatarbelakangkan perubatan yang mana kita boleh bawa inisiatif kesihatan dan perubatan untuk spesifik DUN Rantau ni.

“Rantau ini ada dua bahagian; satu di belah atas belah utara di Sendayan, itu ramai orang muda, banyak pembangunan dan sebagainya. Tapi di Rantau ni di selatan pula adalah Pekan Rantau, Kampung Linsum, Kuala Sawah… ini adalah pekan kecil ataupun kampung yang penduduknya dah sedikit berumur, warga emas.

“Jadi kat situ kita boleh masuk melalui program kesihatan dan pastikan setiap penghuni Rantau walaupun dah usia warga emas, tetap sihat, tetap boleh bertenaga dan memberi sumbangan untuk membangunkan Rantau dan secara umumnya Negeri Sembilan,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Dr Azizul berkata beliau turut bercadang mewujudkan sebuah hab industri kecil bagi membantu lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memulakan perniagaan berasaskan kemahiran.

Beliau berkata kewujudan hab berkenaan mampu menjadi platform kepada golongan belia mengembangkan perniagaan sekali gus merancakkan ekonomi setempat.

“Rantau ramai anak muda dan saya yakin anak-anak muda Rantau berkemahiran. Sebab kita sekarang ini dengan Kerajaan MADANI turut beri fokus pada pada TVET.

“Dan ramai anak Negeri Sembilan terutama di Rantau adalah lepasan TVET, ada kemahiran. Tapi kita masih lagi tak ada hab industri kecil. Jadi itu yang saya nak bawa... iaitu hab industri kecil untuk anak muda mulakan berniaga, mulakan servis yang berasaskan TVET. Terutama dalam bidang automotif dan industri makanan.

“Mereka ada kemahiran untuk bengkel, baiki kereta dan sebagainya, tapi tak ada tempat untuk buka bengkel dan tak ada dana pula untuk buka bengkel tu. Juga ada yang daripada industri makanan nak jual kerepek, frozen semua, kita cuba sediakan satu hab industri kecil untuk anak muda berniaga di situ,” katanya.

Mengulas peluang PH pada PRN kali ini, Dr Azizul yakin rakyat dapat menilai pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Ujarnya, pelbagai bantuan disediakan kerajaan negeri merangkumi setiap peringkat kehidupan rakyat, selain menyifatkan kejayaan Negeri Sembilan mengisytiharkan sifar miskin tegar sebagai antara pencapaian yang memberi manfaat kepada rakyat.

Pada PRN Negeri Sembilan kali ini, Dr Azizul bakal berdepan saingan daripada penyandang kerusi DUN Rantau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, dalam saingan dua penjuru.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau mula berkhidmat sebagai ADUN Rantau pada 2004 dan menerusi PRN2023, Mohamad berjaya mengekalkan penguasaan BN di kubu kuat itu apabila menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Rozmal Malakan dengan memperoleh 16,957 undi sekali gus mencatat majoriti 10,280.

Must Watch Video

Advertisement