Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Aminuddin tekad tawan kubu kuat BN, yakin bangunkan Linggi

TB_AMINUDDIN DUN LINGGI_AWANI
Aminuddin berkata keyakinannya untuk mencipta kemenangan di Linggi, didorong hasrat memastikan kawasan itu tidak ketinggalan daripada arus pembangunan

SEREMBAN: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun bersedia menyahut cabaran menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, kubu kuat Barisan Nasional (BN), pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Beliau berkata keyakinannya untuk mencipta kemenangan di Linggi, didorong hasrat memastikan kawasan itu tidak ketinggalan daripada arus pembangunan, terutama berikutan kedudukannya yang berdekatan Port Dickson, yang sedang berkembang sebagai hab pelancongan dan ekonomi negeri.

“Saya yakin kita mampu membangunkan Linggi sebagai sebuah kawasan yang lebih hebat pada masa depan. Menerusi pelabuhan dan kawasan perindustrian yang sedang dirancang ketika ini, akan membawa kemakmuran serta memastikan rakyat Linggi tidak ketinggalan.

“DUN Linggi kubu kuat BN, kali ini saya bertanding di situ untuk memastikan kemenangan. Tiada yang mustahil,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman calon PH di Dataran Melang, Kuala Pilah malam tadi.

Menteri Besar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata kemenangan di DUN Linggi, akan membolehkan beliau lebih dekat dengan penduduk setempat, sekali gus memahami keperluan mereka dengan lebih menyeluruh.

Aminuddin memohon sokongan dan restu pengundi Linggi bagi meneruskan agenda pembangunan serta memastikan kawasan itu menikmati limpahan projek pembangunan, yang dirancang kerajaan negeri.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pengundi DUN Sikamat yang memberi kepercayaan kepadanya selama empat penggal berturut-turut sejak 2008.

“Kepada pengundi DUN Sikamat, saya ucapkan terima kasih, saya amat terhutang budi kepada mereka. Saya sayang mereka…hingga ke hari ini mereka memberikan sokongan. Saya yakin mereka akan terus memberikan sokongan kepada calon baharu kita nanti,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Aminuddin Nor Azman Mohamad yang dicalonkan di DUN Sikamat, bertekad meneruskan legasi perkhidmatan yang dibina Aminuddin sepanjang empat penggal, di samping memastikan agenda kebajikan rakyat terus diperkasakan.

“Insya-Allah saya dengan sedaya upaya akan meneruskan gerak kerja dilaksanakan sebelum ini dan mempertahankan kubu kuat PKR ini untuk pembentukan kerajaan Negeri Sembilan,” katanya.

Pada PRN Negeri Sembilan ke-15, Aminuddin mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti 2,662 undi selepas memperoleh 12,730 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) serta dua calon Bebas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi PRN Negeri Sembilan pada 18 Julai, diikuti pengundian awal pada 28 Julai dan hari pengundian pada 1 Ogos.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement