Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Ahmad Zahid harap pengundi India ulangi sokongan kepada MIC seperti di Johor

Ahmad Zahid, PRN  Kredit: Astro AWANI
Ahmad Zahid turut memberi bayangan bahawa masyarakat India akan diberikan perwakilan lebih besar dalam pentadbiran negeri sekiranya BN berjaya membentuk kerajaan. - Foto fail/Astro AWANI

PORT DICKSON: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berharap pengundi India di Negeri Sembilan dapat mengekalkan momentum sokongan terhadap MIC sebagaimana yang ditunjukkan pada Pilihan Raya Negeri Johor yang lalu.

Ini sekali gus ujarnya akan dapat membantu kedua-dua calon parti itu meraih kemenangan pada PRN di Negeri Sembilan.

Ahmad Zahid turut memberi bayangan bahawa masyarakat India akan diberikan perwakilan lebih besar dalam pentadbiran negeri sekiranya BN berjaya membentuk kerajaan dan melantik Menteri Besar daripada UMNO.

“Sekarang kita berada di Negeri Sembilan. MIC meletakkan dua calon, saya mempunyai keyakinan atas semangat Barisan Nasional sekali lagi, MIC yang mewakili Barisan Nasional akan mendapat kemenangan 100 peratus di Negeri Sembilan.

“Ini memperlihatkan bahawa pengundi-pengundi India telah berubah. Kerana pada 2018 mungkin ada kesilapan, 2022 ada kesilapan, tetapi dalam Pilihan Raya Johor dan Negeri Sembilan, kesilapan itu telah diperbaiki,” katanya.

Ahamd Zahid berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat India di Lukut, di sini, pada Sabtu.

Tambahnya, kejayaan itu bergantung kepada kemenangan kedua-dua calon MIC yang bertanding, sambil mengingatkan bahawa masyarakat India membentuk kira-kira 15.4 peratus daripada keseluruhan pengundi di Negeri Sembilan, antara yang tertinggi di negara ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 1 Ogos sebagai tarikh pengundian PRN Negeri Sembilan, manakala undi awal pada 28 Julai.

Pada PRN kali ini, MIC meletakkan dua calon iaitu A. Acuthan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung dan Datuk Thinalan T Rajagopali bagi DUN Seremban Jaya. 

 

 

Must Watch Video

Advertisement