Skip to main content

Politik

PRN N. Sembilan: Bersatu masuk gelanggang, Tun Faisal antara 24 calon taruhan

Bersatu, PRN16
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan akan bertanding di 24 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan. - Astro AWANI

NILAI: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan akan bertanding di 24 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Daripada keseluruhan kerusi diumumkan itu, dua kerusi secara sepakat diberikan kepada Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) melibatkan DUN Mambau dan Seremban Jaya di mana kedua-dua calon juga akan menggunakan logo Bersatu.

Pengumuman senarai calon itu dibuat Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis pelancaran jentera dan pengenalan calon parti berkenaan petang Jumaat.

Antara tumpuan ialah pencalonan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, yang dipertaruhkan di kerusi DUN Sikamat, iaitu kerusi yang disandang Datuk Seri Aminuddin Harun selama empat penggal sebelum Menteri Besar Negeri Sembilan itu beralih bertanding di DUN Linggi pada PRN kali ini.

Pertaruhan itu dijangka menjadi antara saingan sengit dalam PRN kali ini memandangkan Sikamat merupakan kerusi yang disandang Aminuddin sejak 2008 dan menjadi antara kubu penting Pakatan Harapan (PH).

Selain itu, Ketua Badan Pimpinan Negeri Sembilan merangkap bekas Ketua Pembangkang DUN Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker, sekali lagi diberi kepercayaan mempertahankan kerusi DUN Labu, yang dimenanginya pada pilihan raya negeri lalu.

Selain itu, Ketua Bersekutu Bersatu, Datuk Seri Sanjeevan Ramakrishnan turut dipertaruhkan di DUN Jeram Padang manakala Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dicalonkan di DUN Seri Menanti.

Muhyiddin dalam ucapannya berkata, keputusan bertanding buat kali pertama di Negeri Sembilan dengan menggunakan logo sendiri membuktikan tahap kematangan parti itu meskipun berlaku konflik dengan rakan gabungan sebelum ini.

“Ini kali pertama Bersatu bertanding menggunakan logo sendiri dan bermakna kami sudah mencapai tahap kematangan yang boleh kita banggakan.

“Sebagai pengasas, ini merupakan satu pencapaian yang tidak pernah kita duga. Ini bukan cerita dongeng. Ini adalah satu kenyataan yang jelas kerana kita menubuhkan Bersatu atas asas dan pendirian yang kita kongsi bersama, dengan objektif yang jelas,” katanya.

PRN Negeri Sembilan kali ini turut menjadi medan penting untuk mengukur kekuatan Bersatu selepas parti itu mengambil keputusan bergerak dengan pendekatan tersendiri susulan jajaran politik baharu antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).
 

Must Watch Video

Advertisement