KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berpandangan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu lalu menunjukkan bahawa apabila orang Melayu bersatu, kekuatan politik akan kembali kepada mereka.
Beliau selaku bekas Perdana Menteri berkata, walaupun bentuk dan mekanisme kerjasama itu masih belum jelas, ia wajar diterima sebagai satu langkah ke arah memperkukuh kekuatan politik orang Melayu.
“Walaupun bentuk kerjasama masih samar-samar dari segi bentuk dan ikatan, ianya perlu kita terima sebagai satu langkah ke arah kebersanan untuk memperkukuhkan kekuatan politik orang Melayu,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan di Facebook miliknya hari ini.
Tokoh politik berusia 101 tahun itu turut mengingatkan bahawa kekuatan politik yang diperoleh perlu dimanfaatkan untuk mengangkat martabat orang Melayu, agama Islam serta mempertahankan kedaulatan negara.
Pada masa sama, beliau menegaskan kekuatan itu bukan bertujuan menekan atau menafikan hak serta kepentingan kaum lain, sebaliknya digunakan demi mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan bersama.
“Apabila orang Melayu bersatu dan mempunyai kekuatan politik, ia memberi keyakinan kepada mereka untuk memperjuangkan kepentingan kaumnya tanpa mempertikai hak-hak kaum lain,” katanya lagi.
Pada masa sama, beliau berpandangan pendekatan yang diamalkan sejak negara mencapai kemerdekaan telah berjaya membawa kemakmuran kepada orang Melayu serta kaum-kaum lain.
Sehubungan itu, beliau berkata orang Melayu perlu terus bersatu dan memperkukuh kekuatan politik bagi memastikan kedaulatan serta hak terhadap tanah air terus terpelihara.
Keputusan PRN Johor 2026 menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan UMNO meraih 36 kerusi, MCA lapan kerusi dan MIC empat kerusi.