MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menegaskan tiada lagi ruang untuk rundingan berhubung keputusan DAP Melaka keluar daripada pentadbiran kerajaan negeri selepas parti itu menyerahkan surat peletakan jawatan semalam.
Beliau berkata, surat peletakan jawatan tersebut yang berkuat kuasa serta-merta diterima kerajaan negeri selepas wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) itu mengadakan sidang media mengenai perkara berkenaan, semalam.
“Kita terima (surat peletakan jawatan) semalam. Habis sidang media mereka terus hantar surat. Sebab itu hari ini kalau kita lihat perubahan kedudukan kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) sebab kita (telah) menerima surat rasmi peletakan jawatan dan pengunduran daripada kerajaan pada kadar segera.
“Itu sebab bila Perdana Menteri minta berunding, saya kata dah tak boleh berunding sebab mereka dah serah semua surat,” katanya pada sidang media selepas hari terakhir Persidangan Kedua Penggal Kelima DUN Melaka Ke-15 di Seri Negeri, pada Rabu.
Ab Rauf mengulas gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya rundingan dibuat susulan tindakan DAP menarik diri daripada pentadbiran Kerajaan Perpaduan di Melaka.
Mengulas kenyataan Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari bahawa PH akan bermesyuarat bagi menentukan hala tuju kerjasama dengan Barisan Nasional (BN), Ab Rauf berkata kerajaan negeri akan menunggu perkembangan itu.
“Itu kita tunggu dan lihat. Saya tidak berani hendak cakap sama ada esok ya ataupun tidak, apa yang mereka hendak buat.
“Tetapi kesan daripada keputusan DAP yang mengumumkan tidak lagi mahu bekerjasama dengan kerajaan ini, kita dah terima. Macam mana pula dia nak berundur? Tapi terserahlah kepada PH,” tambahnya.
Beliau dalam pada itu turut memaklumkan kerajaan negeri menerima surat daripada PKR Melaka yang memaklumkan parti itu tidak bersetuju dengan langkah yang diambil DAP.
Dalam masa sama, Ab Rauf menegaskan hubungan antara Kerajaan Negeri Melaka dan Kerajaan Persekutuan akan terus dipelihara meskipun berlaku perubahan landskap politik di negeri itu.
Katanya, kerajaan negeri akan terus memberikan kerjasama kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan dalam semua perkara yang memberi manfaat kepada pembangunan negeri serta kebajikan rakyat.
“Pintu kerjasama dalam isu pembangunan ekonomi, kebajikan dan kepentingan rakyat akan sentiasa terbuka kepada semua pihak,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan pentadbiran kerajaan negeri akan terus berjalan seperti biasa dengan sebarang penyusunan semula pentadbiran dibuat secara berhemah serta berpandukan kepentingan rakyat dan kestabilan negeri.
Semalam, PH Melaka mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri sebagai bantahan terhadap kelulusan RUU Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang memperkenalkan pelantikan ADUN lantikan.
Keputusan itu menyaksikan wakil PH membabitkan empat ADUN DAP dan seorang wakil Amanah melepaskan semua jawatan dalam kerajaan negeri termasuk jawatan Exco, Timbalan Exco, Timbalan Speaker serta lantikan berkaitan pentadbiran negeri.