IPOH: Tulisan ikonik “IPOH” di kawasan Gunung Lang di sini telah diturunkan bagi membolehkan kerja pemeriksaan, pembaikan dan baik pulih dilaksanakan.
Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu diambil bagi memastikan struktur serta keadaan fizikal tulisan berkenaan sentiasa berada dalam keadaan baik, selamat dan terpelihara sebagai satu daripada mercu tanda kebanggaan bandar raya Ipoh.
Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan kerja pemasangan semula tulisan “IPOH” dijangka dilaksanakan secara berperingkat mulai 4 hingga 6 Ogos ini tertakluk kepada keadaan cuaca dan kelancaran kerja-kerja di tapak, selain dijangka siap pada 15 Ogos.
"MBI memohon kerjasama dan kesabaran warga kota sepanjang tempoh kerja berkenaan dilaksanakan. Sebarang kesulitan yang timbul amat dikesali," menurut kenyataan itu.
MBI memaklumkan pihaknya sentiasa komited dalam memastikan kemudahan awam dan mercu tanda bandar raya sentiasa diselenggara dengan baik demi keselamatan, keselesaan serta kesejahteraan warga Ipoh.
-- BERNAMA