PUTRAJAYA: Cadangan pelaksanaan Akta Saraan Hakim Syarie kini berada pada peringkat akhir dengan dokumen berkaitan telah disediakan dan sedang dimuktamadkan sebelum dibawa ke peringkat seterusnya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
Beliau berkata kajian berhubung perkara itu sedang dilaksanakan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bersama agensi berkaitan, selain turut melibatkan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan.
"Ya, sedang muktamadkan, tetapi memerlukan kajian yang mendalam kerana melibatkan implikasi kewangan dan sebagainya. Jadi, doakan supaya dapat disegerakan.
"Secara umumnya dokumen sudah disediakan, cuma kita perkemas lagi kerana perlu mendapat ulasan-ulasan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia (PePSSM) kali kedua 2026 di sini, hari ini.
Pada 15 Julai 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata kerajaan memberikan komitmen akan menyegerakan cadangan pelaksanaan akta berkenaan bagi memartabatkan status hakim Mahkamah Syariah di negara ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata perkara itu mendapat perhatian kerajaan kerana terdapat keperluan bagi mengimbangi antara Skim Perkhidmatan Kehakiman Syariah dengan Skim Perkhidmatan Kehakiman Sivil.
Dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata perincian cadangan penubuhan Jabatan Pendakwaan Syariah Malaysia (JPSM) kini sedang diperkemas pada peringkat dasar sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
Beliau berkata dokumen berkaitan perkara itu telah memasuki fasa akhir selain perlu mendapatkan ulasan-ulasan daripada pihak terlibat sebelum dibentangkan.
“Buat masa ini, cadangan ini masih lagi sedang diperkemas pada peringkat dasar agar setiap aspek perundangan, pentadbiran, tadbir urus dan hubungan Persekutuan–Negeri dapat dihalusi secara menyeluruh sekali gus memastikan pelaksanaannya kelak benar-benar tersusun, berkesan dan mampu memperkukuh keseluruhan ekosistem keadilan syariah negara,” katanya.
Beliau berkata sesi libat urus dan penglibatan bersama kerajaan negeri berhubung cadangan itu telah dilaksanakan dengan baik bagi memastikan pandangan semua pihak diambil kira.
“Kita sentiasa mengambil kira pandangan daripada negeri-negeri tentang perkara ini. Usaha ini ialah usaha bersama, bukannya usaha oleh peringkat kita, JKSM sahaja,” katanya.
Pada 26 Jan lepas, Zulkifli berkata kerajaan berada pada peringkat akhir persediaan bagi penubuhan JPSM, dengan memorandum Jemaah Menteri sedang dimuktamadkan bagi mendapat kelulusan dasar sebelum cadangan itu dibawa ke Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan seterusnya Majlis Raja-Raja.
-- BERNAMA