KUALA LUMPUR: Kerajaan menyeru seluruh rakyat dan peniaga supaya tidak leka atau mengambil mudah kesan ekonomi dan rantaian bekalan susulan Iran mengumumkan penutupan semula Selat Hormuz, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata walaupun terdapat laporan masih terdapat sedikit pergerakan bagi kapal komersial, keadaan itu tidak boleh menyebabkan kerajaan atau rakyat berasa selesa.
“Ini bermakna ekonomi kita masih terdedah dengan gangguan geopolitik yang tidak stabil di luar sana.
“Kerajaan, rakyat, peniaga dan semua perlu bersedia dan berwaspada kerana memang akan ada kesan dari segi harga minyak, tekanan kepada kos pengangkutan dari segi tempoh penghantaran, harga input bahan mentah global dan isu bekalan dan harga barangan makanan orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran video di laman rasmi TikTok beliau malam ini ketika mengulas mengenai penutupan semula Selat Hormuz susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel pada 8 Julai.
“Kita semua tidak boleh leka dan perlu mampu menyesuaikan diri dengan cabaran ekonomi yang masih belum surut susulan konflik peperangan dan serangan di Asia Barat yang masih belum surut,” katanya.
Sementara itu, Akmal Nasrullah berkata industri dan ekosistem rantaian akan menghadapi tekanan rantaian bekalan global sekiranya krisis itu berpanjangan, sekali gus memberi kesan kepada industri.
Menurutnya sekiranya keadaan itu tidak dibendung, ia akan memberi kesan kepada pengguna.
“Bila disebut rantaian, ia sebenarnya lebih rumit daripada yang kita jangka. Contohnya, jika tekanan itu dihadapi industri pengeluar plastik, kesannya boleh merebak kepada industri lain seperti pembungkusan makanan, komponen elektrik dan elektronik, automotif, peranti perubatan, pembinaan, pertanian dan eksport pembuatan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata cabaran berkenaan perlu ditangani supaya tidak menjejaskan operasi dan rantaian di peringkat berikutnya serta tidak bergantung sepenuhnya kepada faktor luaran.
-- BERNAMA