Skip to main content

Politik

PRN Johor: Rosmah dakwa imej disalah guna dalam kempen

FB Rosmah Mansor
Kenyataan yang dikeluarkan Rosmah mengenai wajah dan imejnya telah digunakan tanpa kebenaran dalam bahan kempen pada PRN Johor. - Gambar Facebook Rosmah

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor mendakwa wajah dan imejnya telah digunakan tanpa kebenaran dalam bahan kempen berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dikaitkan dengan Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Nga Kor Ming.

Isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu berkata, beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seperti yang dipaparkan dalam bahan kempen berkenaan dan menyifatkan tindakan tersebut sebagai cubaan mengelirukan pengundi.

“Ini pembohongan jelas, berniat jahat dan dibuat untuk mengelirukan pengundi,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Rosmah dipercayai merujuk kepada satu bahan kempen yang tular di media sosial yang memaparkan wajahnya bersama mesej ditujukan kepada pengundi luar menjelang PRN Johor.

Beliau turut mengkritik tindakan yang didakwa dilakukan oleh Kor Ming itu dan menyifatkannya sebagai tidak mencerminkan kematangan politik seorang anggota pentadbiran kerajaan.

“Sepatutnya seorang menteri menunjukkan contoh politik matang, bukan menyebarkan bahan fitnah dan manipulasi,” katanya.

Dalam pada itu, Rosmah menggesa Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengambil tindakan terhadap penyebaran bahan berkenaan.

Menurut beliau, tindakan sewajarnya perlu diambil sekiranya kandungan tersebut didapati mengandungi maklumat palsu atau mengelirukan.

Rosmah turut menegaskan beliau tidak akan berdiam diri berhubung perkara itu dan mempertahankan haknya daripada sebarang penggunaan imej atau kenyataan yang didakwa tidak pernah dibuat olehnya.

“Politik boleh berlawan. Tetapi jangan guna gambar orang lain dan cipta kenyataan yang tidak pernah dibuat untuk mempengaruhi rakyat,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement