KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menerima keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan hati terbuka serta menghormati proses demokrasi yang telah berlangsung.
Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, penghargaan dirakamkan kepada seluruh rakyat Johor yang telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRN berkenaan.
Dalam kenyataan selepas keputusan pilihan raya diumumkan semalam, Ahmad Samsuri turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh jentera PN yang bertungkus-lumus sepanjang tempoh kempen.
Menurut beliau, pengorbanan masa, tenaga dan komitmen yang dicurahkan membuktikan perjuangan gabungan itu digerakkan dengan penuh kesungguhan bagi membawa khidmat terbaik kepada rakyat.
"Apa jua keputusan yang telah ditentukan, kita menerimanya dengan hati yang terbuka, penuh rasa hormat terhadap proses demokrasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, PN menghargai segala kepercayaan, sokongan serta doa yang diberikan rakyat Johor sepanjang menghadapi pilihan raya negeri itu.
Beliau memberi jaminan PN akan terus istiqamah menjadi suara rakyat dengan membawa pendekatan politik yang matang, berintegriti serta mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan semua.
"Terima kasih, Johor. Semoga Allah SWT memberkati negeri ini dan seluruh rakyatnya," katanya.
Berdasarkan keputusan rasmi PRN Johor Ke-16, Perikatan Nasional (PN) tidak memenangi sebarang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). BN menang 48 daripada 56 kerusi, manakala PH memperoleh lapan kerusi.