JOHOR BAHRU: Pertembungan di antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ketika ini tidak sama sekali mengganggu urusan pentadbiran Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata sejak tempoh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hingga kini, hubungan dan tugasan terutamanya melibatkan jemaah menteri daripada dua parti berkenaan tetap baik.
Presiden Amanah itu berkata biarpun di peringkat negeri kedua-dua pihak mempunyai percaturan masing-masing untuk memenangi pilihan raya, namun ia tidak sama sekali menggugat kestabilan di peringkat Persekutuan.
“Ya tidak ganggu, misalnya di dalam mesyuarat jemaah menteri, semua berjalan lancar, pergaulan kami juga tiada masalah, jika ada perkara baik kita saling menyokong satu sama lain, saling tegur-menegur, baik sahaja.
“Di sini (Johor), ya kita lawan ini (BN), tapi dekat Persekutuan tidak, itulah politik Malaysia ketika ini, dia jadi pelik sikit. Kita harap lepas pilihan raya ini kita cari jalan (terbaik) sebab sekarang kita bertembung di siang hari tapi berkawan di malam hari,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohamad Sabu ditemui selepas hadir mengiringi calon PH bagi DUN Permas Sharon Teo ke Pusat Penamaan Calon PRN Johor di Dewan Muafakat, Taman Mawar di sini hari ini.
DUN Permas menyaksikan Teo berhadapan saingan empat penjuru daripada calon Perikatan Nasional T Vela, Dr Zamil Najwah yang mewakili Parti Bersama Malaysia (Bersama) serta penyandang kerusi berkenaan Baharudin Mohamed Taib (BN).
Dalam pada itu, mengulas mengenai kenyataan Amanah Pasir Gudang yang mahu memboikot pencalonan dan kempen Teo di DUN Permas, Mohamad Sabu berkata gerak kerja parti untuk memastikan kemenangan calon mereka berjalan seperti biasa.
“Tiada masalah, biasalah memang mana-mana parti, bila keputusan dah buat, adalah beberapa sikap individu untuk tidak bersetuju. Tiada boikot, malah hari ini saya pun gembira lihat ramai penyokong yang sama-sama berarak menghantar calon kita ke pusat penamaan,” katanya.
DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi dibubarkan pada 1 Jun lepas dan SPR menetapkan 7 Julai ini bagi hari pengundian awal, manakala 11 Julai sebagai hari mengundi.
Berdasarkan statistik SPR, PRN kali ini melibatkan sebanyak 2,727,926 pemilih berdaftar terdiri daripada 2,703,175 pengundi biasa, 12,041 anggota tentera dan pasangan, serta 12,710 anggota polis dan pasangan.
-- BERNAMA