Skip to main content

Politik

PRN Johor: Pergolakan dalam PN beri kelebihan kepada BN - Penganalisis

Sumber: Astro AWANI
Pergolakan PAS dan Bersatu dalam PN boleh memberi kelebihan kepada BN pada PRN Johor, menurut Pengarah Eksekutif ILHAM Centre, Hisomuddin Bakar.

MUAR: Pergolakan terbuka antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilihat berpotensi memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN), menurut Pengarah Eksekutif ILHAM Centre, Hisomuddin Bakar.

Beliau berkata, pertelagahan antara PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan sahaja tidak menguntungkan kedua-dua parti, malah berisiko menjejaskan keyakinan pengundi terhadap PN sebagai sebuah gabungan.

"Kalau kita nak kata PAS terlalu lemah atau Bersatu terlalu kuat, saya rasa itu bukan isunya.

"Hakikatnya, kedua-dua parti inilah yang sebelum ini menjadi formula yang mengukuhkan jenama PN di Johor sehingga mampu memberi cabaran kepada BN di negeri yang dianggap kubu kuat UMNO dan BN.

"Bagaimanapun, apabila berlaku ketidaksamaan dalam penyusunan strategi PN, kedua-dua parti akhirnya berdepan risiko kehilangan keyakinan pengundi," katanya kepada Astro AWANI.

Pada 8 Jun lalu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan parti itu menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu.

Susulan itu, Abdul Hadi turut menegaskan jentera PAS tidak akan membantu kempen calon Bersatu pada PRN Johor.

Hisomuddin berkata, ketidaksamaan yang dipamerkan ketika ini turut berpotensi memberi kesan negatif terhadap persepsi pengundi, khususnya golongan muda yang cenderung memilih gabungan yang dilihat lebih stabil.

"Kalau pengundi muda melihat kenyataan serang-menyerang saban hari, mereka akan cenderung kepada parti yang menampilkan imej lebih utuh dan tidak berdepan kontroversi.

"Sekiranya percakaran berlaku secara terbuka di media sosial dan media perdana, sedikit sebanyak ia akan mempengaruhi emosi serta cara pengundi yang rasional menentukan sikap mereka," katanya.

Berdasarkan statistik umur Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 1,297,931 pengundi di Johor berusia antara 18 hingga 39 tahun, mewakili kira-kira 47.6 peratus daripada keseluruhan 2,727,926 pengundi berdaftar.

Pengundian awal PRN Johor dijadual berlangsung pada 7 Julai, manakala hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai 2026.

 

 

Must Watch Video

Advertisement