Skip to main content

Malaysia

Had jualan diesel pengangkutan darat dibatalkan mulai hari ini

71724844594_diesel.jpg
Menurut KPDN, pembatalan itu dibuat susulan pengumuman kerajaan mengenai penyeragaman harga diesel bersubsidi di bawah Program BUDI Diesel kepada RM2.10 seliter. - Foto fail

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membatalkan sepenuhnya arahan melaksanakan kawalan penjualan diesel ke atas kenderaan pengangkutan darat bertarikh 27 Mac 2026, berkuat kuasa 1 Julai.

KPDN dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, pembatalan itu dibuat susulan pengumuman kerajaan mengenai penyeragaman harga diesel bersubsidi di bawah Program BUDI Diesel kepada RM2.10 seliter.

Selain pelaksanaan mekanisme baharu pembelian diesel bersubsidi menggunakan MyKad di stesen minyak yang turut bermula pada 1 Julai.  

"Semua pemegang lesen barang kawalan berjadual runcit yang menjual petrol atau diesel di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan diminta mengambil maklum bahawa arahan kawalan penjualan diesel ke atas kenderaan pengangkutan darat tidak lagi berkuat kuasa mulai tarikh berkenaan," kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, KPDN berkata mekanisme baharu yang diperkenalkan kerajaan diyakini dapat memastikan pengagihan diesel bersubsidi dilaksanakan dengan lebih bersasar, cekap dan berkesan.

“KPDN yakin mekanisme baharu yang diperkenalkan oleh Kerajaan akan memastikan pengagihan diesel bersubsidi dilaksanakan secara lebih bersasar, cekap dan berkesan, di samping memudahkan urusan pengguna yang layak.

"KPDN menyeru semua pihak supaya mematuhi sepenuhnya arahan dan mekanisme baharu yang telah ditetapkan bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar demi kepentingan rakyat dan negara,” menurut kenyataan itu.  

Sebelum ini, bermula 1 April 2026, semua pemegang lesen stesen minyak di Malaysia Timur diwajibkan melaksanakan kawalan penjualan diesel kepada kenderaan pengangkutan darat mengikut kategori kenderaan, dengan had transaksi sebanyak 50 liter, 100 liter dan 150 liter.

Langkah itu diperkenalkan bagi memastikan bekalan diesel di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan tidak dieksploitasi oleh sindiket penyeludupan atau sektor industri yang tidak layak.

 

 

Must Watch Video

Advertisement