BATU PAHAT: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui Perikatan Nasional (PN) mungkin tidak mampu membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini.
Namun, beliau menegaskan, sokongan pengundi terhadap PN tetap penting bagi memastikan gabungan itu memperoleh jumlah kerusi yang mencukupi untuk memainkan peranan semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan negeri.
Menurutnya, walaupun PN mungkin tidak berjaya membentuk kerajaan negeri, kewujudan blok pembangkang yang kukuh di Dewan Undangan Negeri (DUN) amat penting bagi memastikan setiap dasar serta perbelanjaan kerajaan negeri dipantau dengan berkesan.
Katanya, jika PN mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi, kerajaan negeri tidak boleh bertindak sesuka hati tanpa dipersoalkan.
"Di sinilah pentingnya peranan kita sebagai semak dan imbang. Kerajaan tidak boleh buat sesuka hati.
"Mereka juga perlu menjelaskan bagaimana wang negeri dibelanjakan jika perkara itu dipersoalkan dalam DUN," katanya ketika berucap pada Ceramah Bersatu Demi Johor di Bilik Gerakan Utama PN di Parit Raja di sini pada Selasa malam.
Turut hadir, calon Bersatu bagi kerusi DUN Parit Raja, Dr Mohamed Maliki Mohamed Rapiee.
Muhyiddin berkata, peranan PN sebagai pembangkang akan menjadi lebih penting sekiranya kerajaan negeri yang memperoleh mandat besar gagal menunaikan janji kepada rakyat.
Beliau berkata, rakyat tidak seharusnya memberikan sokongan semata-mata kerana tiada jaminan kerajaan yang memperoleh kemenangan besar akan menunaikan tanggungjawab kepada mereka, apatah lagi apabila terdapat dakwaan pihak berkenaan mampu memenangi sehingga 40 kerusi.
"Jangan beri sokongan semata-mata kerana tiada jaminan. Apatah lagi sekarang ada kedengaran mereka boleh menang sehingga 40 kerusi.
"Kalau dah menang 40 kerusi, mereka akan berlenggang tangan. Tak buat apa-apa pun, tak apa sebab rakyat dah sokong mereka. Akhirnya rakyat juga yang tidak mendapat apa-apa," katanya.
Sebab itu tambahnya, walaupun PN tidak bertanding sebanyak kerusi seperti pihak lain, dan mungkin tidak mampu membentuk kerajaan, PN tetap perlu mempunyai kekuatan untuk menjadi pembangkang.
"Itulah pentingnya rakyat memilih wakil yang benar-benar mampu membawa perubahan dan memperjuangkan kepentingan mereka," tambahnya lagi. - Sinar Harian