Skip to main content

Politik

PRN Johor: Maszlee dari peniaga pasar malam ke calon PH di Puteri Wangsa

Dr Maszlee Malik
Maszlee hadir semasa program Santai Bersama Calon di sekitar Johor Bahru hari ini. - Foto FB Dr Maslee Malik

JOHOR BAHRU: Maszlee Malik menyifatkan pencalonannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa sebagai satu panggilan untuk kembali berkhidmat di tempat yang banyak membentuk kehidupannya.

Bekas Menteri Pendidikan itu berkata, Puteri Wangsa bukan kawasan asing kerana beliau membesar di Johor Bahru, selain pernah mencari rezeki dengan berniaga di pasar malam sekitar kawasan berkenaan.

Selaku calon Pakatan Harapan (PH) Maszlee turut menjelaskan keputusan untuk bertanding di Puteri Wangsa dibuat pada saat akhir selepas menerima panggilan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Dia (Anwar Ibrahim) kata, 'You kampung Johor Bahru kan?' Saya kata, 'Kampung saya Kempas, tempat mainan saya. Larkin adalah tempat saya bersekolah.

"Kalau kawasan Puteri Wangsa ini tempat saya jual pasar malam…. dia kata, 'You go to Puteri Wangsa.' Dia kata, 'You biasa tak?' Eh, biasalah. Apa tak biasa," katanya ketika ditemui pemberita semasa program Santai Bersama Calon di Johor Bahru hari ini.

Maszlee berkata, beliau tidak teragak-agak menerima cabaran itu kerana menganggap Puteri Wangsa sebagai sebahagian daripada kawasan yang dekat dengan pengalaman hidupnya.

Namun, beliau menegaskan tiada istilah kerusi selamat dalam pilihan raya kerana dinamika politik boleh berubah pada bila-bila masa.

Katanya, keutamaan beliau kini adalah bertemu pengundi, meyakinkan mereka dengan tawaran perkhidmatan serta membawa pendekatan politik matang dan berhemah.

"Kita hormat di atas semangat perlawanan kita rakyat Malaysia, semangat demokrasi. Kita hormat dan kita buat yang terbaik.

"Kalau bagi pengundi mereka ingin kenali saya sebagai apa? Saya kata, saya ingin dikenali sebagai orang yang tak akan maki orang lain,” katanya lagi.

Maszlee berdepan saingan lima penjuru di DUN Puteri Wangsa menentang calon Barisan Nasional (BN), Teow Chia Ling; calon MUDA, Rashifa Aljunied; calon Parti Bersama, Nicholas Paul Vincent; serta calon Bebas, Wang Wee Siong.

Untuk rekod, DUN Puteri Wangsa tidak lagi dimenangi Barisan Nasional (BN) sejak Pilihan Raya Umum ke-13 (2013), apabila kerusi itu dimenangi Allahyarham Abdullah Husin daripada Pas.

Kerusi itu kemudian disandang Mazlan Bujang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (2018), sebelum dimenangi Amira Aisya Abd Aziz daripada MUDA pada Pilihan Raya Negeri Johor 2022.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), DUN N.41 Puteri Wangsa mempunyai seramai 128,723 pemilih berdaftar berdasarkan Daftar Pemilih yang dikemas kini sehingga 31 Mei 2026.

Maszlee turut disebut-sebut sebagai antara calon berpotensi Menteri Besar Johor sekiranya PH berjaya membentuk kerajaan negeri.

Bagaimanapun, sehingga kini PH belum membuat sebarang pengumuman rasmi mengenai calon Menteri Besar bagi PRN Johor.

Must Watch Video

Advertisement