Skip to main content

Politik

PRN Johor: Kerusi panas DUN Mahkota saksikan pertandingan tiga penjuru

Dari kiri, calon Parti Bersama Malaysia (Bersama), Abd Hamid Ali;  penyandang Barisan Nasional (BN) UMNO, Syed Hussien Syed Abdullah dan calon Pakatan Harapan (PH) Amanah, Ahmad Zuhan Md Zain.bergambar bersama selepas proses penamaan calon bagi DUN Mahkota di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Kluang
Dari kiri, Abd Hamid, Syed Hussien dan Ahmad Zuhan bergambar bersama selepas selesai proses penamaan calon bagi DUN Mahkota di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Kluang, hari ini. - Foto Astro AWANI

KLUANG: Kerusi panas Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota menyaksikan pertandingan tiga penjuru apabila penyandang Barisan Nasional (BN) dari UMNO, Syed Hussien Syed Abdullah dicabar Ahmad Zuhan Md Zain mewakili Pakatan Harapan (PH) dari parti Amanah dan Abd Hamid Ali daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Pengurus Pilihan Raya DUN Mahkota, Azmi Ahmad mengumumkan ketiga-tiga calon itu layak bertanding selepas tamat proses penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini, hari ini.

Syed Hussien mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya kecil (PRK) Mahkota pada September 2024, selepas meraih kemenangan dengan majoriti 20,648 undi.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.

Calon BN tiba di pusat penamaan calon dengan diiringi Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Proses penamaan calon berlangsung dalam keadaan aman dan cuaca panas, dengan ribuan penyokong BN, PH serta Bersama berhimpun bagi memberi sokongan kepada calon masing-masing.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan calon sehingga pukul 11.59 malam, 10 Julai, manakala hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai.

Mengikut statistik SPR, DUN Mahkota mempunyai 67,562 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 62,392 pengundi biasa, 4,744 pengundi awal serta 426 anggota polis dan pasangan.

 

Must Watch Video

Advertisement