KLUANG: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkibol, Warren Yap Zhi Peng mahu memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan peluang pekerjaan bagi memastikan lebih ramai anak muda terus menetap di kawasan itu.
Beliau berkata, antara harapan utama penduduk yang ditemuinya ialah supaya ekonomi Mengkibol dapat dirancakkan selepas kawasan itu disifatkannya ketinggalan dari segi pembangunan sejak sekian lama.
Menurut Yap, usaha membangunkan ekonomi setempat perlu dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk, khususnya golongan muda.
“Mereka harap ekonomi kita di sini boleh dibangunkan kerana kita pun faham kawasan ini sudah tertinggal hampir 20 tahun.
“Mereka ada satu permintaan, harap DUN Mengkibol ini dari segi ekonomi dan pekerjaan dapat dibangunkan, dan orang muda pun boleh tinggal di sini serta mendapat kerja,” katanya kepada Astro AWANI.
Yap berkata, sekiranya diberi mandat, beliau akan berusaha memastikan Mengkibol tidak terus ketinggalan daripada arus pembangunan.
“Saya harap kali ini beri saya peluang. Kita akan membangunkan ekonomi kawasan ini melalui kerjasama dengan kerajaan negeri.
“Kita berharap orang muda boleh tinggal di sini. Ini janji saya. Dan saya mesti janji, saya akan dengar suara rakyat dan bantu orang di sini,” katanya.
Pada PRN Johor kali ini, DUN Mengkibol menyaksikan pertandingan dua penjuru membabitkan Yap daripada BN-MCA dan calon Pakatan Harapan (PH) daripada DAP, Chu Poh Yee.
DUN Mengkibol sebelum ini dimenangi PH-DAP menerusi Chew Chong Sin pada PRN Johor 2022 dengan majoriti 10,107 undi selepas menewaskan Kelly Chye Pei Yee daripada BN-MCA dan Wong Chan Giap daripada Perikatan Nasional.