Skip to main content

Politik

PRN Johor: BN yakin, PN uji kekuatan, Bersama bawa alternatif

PRN Johor, webinar. Tangkap layar video AWANI
Gambar atas, dari kiri: Hwok Aun dan Noor Azleen: Gambar bawah, dari kiri: Dek Joe dan Mohamed Malik

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) optimis mampu memperbaharui mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan pada 11 Julai ini.

Bagaimanapun, Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros mengakui persaingan kekal sengit berikutan setiap pilihan raya bermula dengan "kosong".

Beliau berkata keputusan pilihan raya terdahulu menunjukkan landskap politik sentiasa berubah dan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) serta PRN, tidak boleh dibandingkan secara langsung.

"Semua dalam BN memahami bahawa setiap pilihan raya bermula dari kosong. Sebab itu terdapat perbezaan besar antara keputusan PRN Johor pada Mac 2022 dan PRU pada November 2022.

"Dalam PRN Johor 2022, BN memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun pada PRU 2022 kami (BN) hanya berjaya memperoleh sembilan daripada 26 kerusi Parlimen di Johor," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi webinar bertajuk Pilihan Raya Negeri Johor 2026: Perspektif Mengenai Pilihan Raya, pada Rabu, yang dikendalikan Lee Hwok Aun.

Mengulas lanjut, Noor Azleen berkata BN memberi tumpuan kepada usaha mengekalkan pencapaian Kerajaan Negeri, selain memperkukuh keyakinan rakyat terhadap rekod pentadbiran sejak 2022.

Ujarnya, hasil tinjauan dan maklum balas di lapangan menunjukkan ramai pengundi mengutamakan kesinambungan pentadbiran serta kestabilan politik, terutama ketika Johor sedang mencatat momentum pertumbuhan ekonomi yang positif.

"Kesinambungan dan kestabilan politik merupakan dua faktor utama yang membezakan kami daripada pihak lain," katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui faktor seperti pengundi atas pagar, inflasi dan ketidaktentuan ekonomi global termasuk perkembangan di Asia Barat kekal menjadi cabaran, namun percaya keadaan yang semakin baik akan membantu BN memperbaharui mandat pada pilihan raya itu.

'PRN Johor medan uji kekuatan PN'

Sementara itu, calon Perikatan Nasional (PN)-Bersatu bagi kerusi Parit Raja, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee menyifatkan PRN Johor sebagai medan menguji kekuatan gabungan itu.

Beliau berkata walaupun rakan sekutu iaitu Pas, tidak hadir secara rasmi membantu kempen di kawasannya, hubungan serta kerjasama di peringkat akar umbi masih berjalan dengan baik.

"Kami mempunyai matlamat yang sama iaitu memberi khidmat kepada rakyat dan menumpukan sepenuh perhatian kepada kempen. Perbezaan pandangan atau strategi dalam mana-mana gabungan politik adalah perkara biasa," ujarnya.

Menurut beliau, fokus utama kempen PN ialah mendekati pengundi dan memahami keperluan mereka berbanding membangkitkan perbezaan antara parti-parti dalam gabungan.

'Bersama bawa naratif alternatif'

Dalam perkembangan berkaitan, ahli ekonomi daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama), Sum Dek Joe berkata isu kos sara hidup menjadi kebimbangan utama rakyat Johor sepanjang tempoh kempen.

Beliau berkata berdasarkan maklum balas yang diterima semasa berkempen, isu kemampuan memiliki rumah dan inflasi mendapat perhatian paling besar daripada pengundi.

Menurutnya, Johor Bahru dan Kulai merekodkan peningkatan harga rumah tertinggi sejak pandemik, selain muncul antara daerah yang paling tidak mampu dimiliki berdasarkan nisbah harga rumah kepada pendapatan median penduduk.

"Rakyat juga berdepan kadar inflasi yang tinggi, namun mereka tidak merasakan manfaat pertumbuhan ekonomi yang sering diumumkan kerajaan negeri.

"Apabila saya bercakap mengenai kos sara hidup dan kemampuan memiliki rumah, saya dapat melihat pengundi benar-benar memberi perhatian," katanya.

Dek Joe menjelaskan, Bersama tampil membawa naratif alternatif yang memfokuskan isu ekonomi rakyat dan kos sara hidup, berbeza dengan pendekatan parti-parti politik lain dalam kempen pilihan raya.
 

Must Watch Video

Advertisement