KUALA LUMPUR: Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) mengumumkan akan bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026.
Menerusi kenyataan bersama pengasasnya, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, mereka berkata pemilihan kerusi dibuat berdasarkan dapatan kaji selidik serta analisis kecenderungan pengundi yang dijalankan sepanjang enam bulan lalu.
“Calon-calon BERSAMA akan diumumkan pada hari Jumaat ini jam 8 malam di Johor Bahru bersempena dengan pelancaran trak kancil di mana lokasi pelancaran akan diumumkan kelak,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan hari ini.
Antara kerusi DUN yang dikenal pasti ialah Bukit Naning, Mahkota, Tiram, Puteri Wangsa, Johor Jaya, Permas, Larkin, Stulang, Perling, Kempas, Skudai, Kota Iskandar, Bukit Permai, Bukit Batu dan Senai.
Daripada 15 kerusi yang diumumkan, BERSAMA dijangka berdepan lapan penyandang UMNO, lima penyandang DAP serta masing-masing satu penyandang daripada MUDA dan PKR.
Dalam masa sama, mereka turut mempelawa ahli BERSAMA dan orang ramai untuk menyertai jentera pilihan raya parti berkenaan bagi menghadapi PRN Johor 2026.
"BERSAMA membuka pendaftaran kepada ahli dan orang ramai yang berminat menyertai jentera pilihan raya termasuk sebagai ejen tempat mengundi dan ejen mengira undi (PACA) menerusi laman sesawang parti.
"Sistem kempen bersepadu akan dibuka mulai 23 Jun bagi membolehkan sukarelawan memilih kempen yang ingin disertai atau dibantu mengikut tarikh, masa, lokasi serta jenis aktiviti yang ditawarkan," kata mereka.
Kenyataan itu juga menyebut: "bagi BERSAMA, PRN Johor 2026 bukan sahaja medan berebut kerusi dan pangkat untuk orang-orang politik.
“Ia peluang untuk merintis budaya politik yang lebih berfokus kepada penyelesaian masalah rakyat dan masa depan negara dan rakyat,” kata mereka.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 27 Jun sebagai tarikh penamaan calon, 7 Julai bagi pengundian awal dan 11 Julai sebagai hari pengundian.