Skip to main content

Politik

PRN Johor: Alias bentang iltizam fokus isu rakyat DUN Panti

DUN Panti, Alias Rahman, Perikatan Nasional, Manifesto
Calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Panti, Alias Rasman membentangkan iltizam yang memberi tumpuan kepada beberapa isu utama di kawasan itu termasuk kebersihan dan alam sekitar, banjir, infrastruktur asas, perumahan, peluang pekerjaan serta pembangunan ekonomi setempat. - Astro AWANI

KOTA TINGGI: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Panti, Alias Rasman membentangkan iltizam yang memberi tumpuan kepada beberapa isu utama di kawasan itu termasuk kebersihan dan alam sekitar, banjir, infrastruktur asas, perumahan, peluang pekerjaan serta pembangunan ekonomi setempat.

Iltizam itu turut merangkumi usaha memperkasa sektor pelancongan berasaskan alam semula jadi dan komuniti, selain memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan serta penguatkuasaan berkaitan isu kebanjiran warga asing.

Naib Presiden BERSATU, Datuk Radzi Jidin, berkata agenda yang dibentangkan Alias menunjukkan komitmen calon itu untuk memahami keperluan masyarakat setempat dan menawarkan penyelesaian terhadap isu yang dihadapi penduduk Panti.

Menurut beliau, antara potensi yang boleh diketengahkan termasuk Air Terjun Kota Tinggi, Gunung Muntahak, Pelepah Valley, Bukit Lintang dan Lukut bagi merancakkan sektor pelancongan tempatan.

"Alias Rasman ialah anak muda yang saya lihat mempunyai potensi besar. Beliau rajin bekerja, kuat turun ke lapangan, mempunyai idea yang jelas dan sentiasa menunjukkan kesungguhan untuk berkhidmat," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dr Radzi berkata, antara kekuatan Alias ialah keupayaannya mengangkat isu rakyat Panti secara menyeluruh selain memberi perhatian kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan penduduk setempat.

Beliau turut menyifatkan Alias sebagai pemimpin muda yang memilih untuk membuktikan kemampuan melalui kerja, komitmen dan kehadirannya bersama rakyat.

Majlis pembentangan iltizam itu turut dihadiri Ketua ARMADA BERSATU Malaysia, Hilman Idham.

Must Watch Video

Advertisement