Skip to main content

Politik

PRN Johor: 23 kerusi tanpa PN beri kelebihan kepada BN

[TB]_PRN Johor PN BN_SINAR
PN tidak meletakkan calon di 23 daripada 56 kerusi DUN berpotensi memberi kelebihan kepada BN pada PRN Johor. Gambar kecil: Awang Azman (kiri), Muhammad Afifi. - Foto Sinar Harian

SHAH ALAM: Keputusan Perikatan Nasional (PN) tidak meletakkan calon di 23 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berpotensi memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, namun manfaat itu tidak semestinya berlaku di semua kawasan.

Penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, ketiadaan PN di kerusi berkenaan membuka ruang kepada pertandingan satu lawan satu antara BN dan Pakatan Harapan (PH), sekali gus mengubah corak persaingan berbanding PRN Johor 2022.

"Dalam pertandingan dua penjuru, BN tidak lagi berdepan risiko sebahagian undi Melayu konservatif atau pengundi yang tidak berpuas hati beralih kepada PN.

"Ini memberi peluang kepada BN menyatukan undi tradisional UMNO, pengundi atas pagar yang mengutamakan kestabilan serta pengundi yang menilai prestasi kerajaan negeri," katanya kepada Sinar Harian.


Setakat malam Khamis, PN mengumumkan akan meletakkan calon di 33 kerusi daripada 56 kerusi DUN pada PRN Johor yang dijadual berlangsung pada 11 Julai depan.

Ini bermakna gabungan itu tidak meletakkan calon di baki 23 kerusi, melibatkan 13 kerusi kini disandang BN, iaitu Buloh Kasap, Bekok, Yong Peng, Parit Yaani, Machap, Tanjung Surat, Larkin, Kempas, Benut, Pulai Sebatang, Pekan Nanas, Kukup dan Mahkota.


PN juga tidak bertanding di sembilan kerusi iaitu Tangkak, Bentayan, Penggaram, Mengkibol, Perling, Skudai, Bukit Batu, Senai dan Johor Jaya yang dimenangi PH pada PRN Johor 2022, selain kerusi Puteri Wangsa yang sebelum ini disandang Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Menurut Awang Azman, situasi kali ini berbeza daripada PRN Johor 2022 apabila BN memenangi 40 daripada 56 kerusi, diikuti PH (12), PN (3) dan Muda (1).

"Kemenangan besar BN ketika itu turut dibantu pertandingan pelbagai penjuru, perpecahan undi pembangkang dan kadar keluar mengundi yang rendah iaitu sekitar 54.92 peratus," ujarnya.

Kata beliau, pertandingan dua penjuru kali ini berpotensi menghasilkan dua kesan berbeza mengikut komposisi pengundi di sesuatu kawasan dengan BN lebih berpeluang di kawasan majoriti Melayu, luar bandar dan separa bandar kerana sebahagian penyokong PN mungkin memilih BN atas faktor kestabilan, calon tempatan dan kesinambungan pentadbiran Melayu.
 

"Sebaliknya, di kawasan bandar atau bercampur, ketiadaan PN juga boleh membantu PH kerana undi penolakan terhadap BN tidak lagi berpecah kepada beberapa parti," ujarnya.

Justeru, beliau memaklumkan, BN hanya mendapat manfaat maksimum sekiranya mampu menarik sebahagian besar pengundi PN yang tidak mempunyai calon.

"BN tidak boleh menganggap penyokong PN akan berpindah secara automatik. Sebahagian mungkin tidak keluar mengundi, merosakkan undi atau memberikan undi protes kepada PH," katanya.

Kelebihan

Beliau berkata, dari sudut struktur pertandingan, BN masih mempunyai kelebihan kerana jentera, kedudukan penyandang dan imej kestabilan kerajaan negeri lebih mudah ditonjolkan dalam pertandingan satu lawan satu.

Awang Azman berkata, keputusan PN hanya bertanding di 33 kerusi secara keseluruhannya lebih menguntungkan BN, khususnya dari segi persepsi kestabilan, kesiapsiagaan organisasi dan keupayaan membentuk kerajaan.

"Akan tetapi, di 23 kerusi yang menyaksikan pertandingan langsung BN–PH, BN masih perlu berhati-hati kerana penyatuan undi anti-BN boleh membantu PH, terutama di kawasan bandar dan bercampur," katanya.

Sementara itu, Felo Penyelidik Bersekutu, Institut Analisis Politik Malaysia (Mapan), Universiti Utara Malaysia, Muhammad Afifi Abdul Razak turut mengakui, secara objektif, baki 23 kerusi tidak ditandingi PN sememangnya memberi manfaat kepada BN, namun ada syarat dan nuansa yang perlu diperhalusi.

Katanya, pada PRN Johor 2022, BN memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN dengan peratusan keluar mengundi sekitar 54.92 peratus.

"Undi popular BN ketika itu hanya mencecah 43.11 peratus, namun sistem First-Past-The-Post (FPTP) membolehkan mereka menguasai lebih 71 peratus kerusi DUN kerana undi pembangkang berpecah antara PH dan PN.

"Kali ini, dengan PN hanya bertanding di 33 kerusi termasuk Pas 11, Bersatu 16, MIPP lima dan Pejuang satu bermakna 23 kerusi lagi tidak ditandingi oleh mana-mana komponen PN, dan situasi ini secara teorinya menguntungkan BN di kerusi berkenaan," katanya.

Bagaimanapun, beliau turut mengingatkan bahawa landskap PRN Johor kali ini jauh berbeza berbanding pilihan raya pada 2022.

"Jika PN mampu mewujudkan persaingan sengit di 33 kerusi yang mereka tandingi, impak 'pemberian percuma' 23 kerusi kepada BN mungkin tidak semerta-merta mengubah keseimbangan kuasa secara keseluruhan.

"Bagaimanapun, secara realistik, peluang besar ini tidak seharusnya diabaikan oleh pihak BN," ujar beliau. - Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement