Skip to main content

Politik

PKR, PH hormat hak setiap parti tentukan strategi hadapi PRN - Fuziah

JOHOR BAHRU, 4 April -- Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh bercakap kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan Program Agihan Minyak Masak Bersubsidi yang diperkasa melalui aplikasi digital eCOSS di sebuah pasar raya di Johor Bahru, hari ini._BERNAMA
Fuziah berkata, PKR kekal dengan pendirian bahawa sebarang keputusan politik pada peringkat negeri sentiasa dinilai berdasarkan kepentingan serta aspirasi rakyat Negeri Sembilan. - Gambar fail/Bernama

SEREMBAN: Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan (PH) menghormati hak setiap parti untuk menentukan pendekatan dan strategi masing-masing dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh berkata, parti itu juga kekal dengan pendirian bahawa sebarang keputusan politik pada peringkat negeri sentiasa dinilai berdasarkan kepentingan serta aspirasi rakyat Negeri Sembilan.

“Justeru, Keadilan kekal fokus memperjuangkan isu-isu kesejahteraan rakyat, peluang ekonomi, kos sara hidup, pembangunan seimbang serta tadbir urus yang telus dan berintegriti.

“Berteraskan prinsip bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat, PH tetap bertegas bahawa menggadaikan kepercayaan demi kemenangan bukan dalam kamus strategi politik kami,” katanya menerusi hantaran Facebook pada Sabtu.

Fuziah berkata, agenda pembangunan negara serta kebajikan rakyat dapat terus dilaksanakan dengan berkesan ialah paksi serta tunjang utama yang mendasari setiap langkah politik PKR dan PH.

Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, perbezaan strategi politik dalam pilihan raya negeri adalah perkara biasa dalam seni kepada segala kemungkinan.

“Seluruh jentera Keadilan dan PH diseru supaya kekal fokus, berdisiplin dan bekerja dengan penuh iltizam untuk meraih keyakinan rakyat serta mempertahankan mandat PH di Negeri Sembilan,” katanya.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi dibubarkan pada 5 Jun dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 Julai sebagai hari pengundian awal manakala 1 Ogos sebagai hari mengundi.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement